MyCC pantau peralihan RFID supaya berjalan lancar


  • Primer
  • Khamis, 20 Jan 2022

MYCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya mengenai pelaksanaan RFID. —The Star

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) percaya bahawa pelaksanaan sistem RFID perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, pihaknya mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuhraya dan kerjasama antara PLUS dan Touch 'n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) dalam sistem kutipan tol.

Katanya, MYCC turut mengadakan perjumpaan dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS.

"Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan pelaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

"Inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan dan MyCC juga akan menumpukan usaha dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, perkara itu selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Jelas Iskandar lagi, memandangkan terdapat peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut.

Ia termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-wallet yang lain.

“Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke masa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

"Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian. Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MYCC, TnG, PLUS, RFID,