OKT mati mengejut akibat paru-paru berair di lokap Pengkalan Chepa — Polis


  • 112
  • Selasa, 18 Jan 2022

OKT berusia 37 tahun itu ditahan untuk disiasat berkaitan kes dadah. — Facebook

UNIT Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), mengesahkan kematian seorang Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan pada Ahad disebabkan paru-paru berair dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, ia susulan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bahru pada Isnin.

"Hasil bedah siasat itu mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah paru-paru berair. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Azri, pihaknya akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada Isnin, JIPS dilaporkan menerima laporan seorang OKT lelaki warga tempatan berusia 37 tahun, meninggal dunia pada pukul 4.35 petang.

OKT tersebut ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama dan direman empat hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram