AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar, Terence Naidu menafikan dakwaan beliau mengambil sebarang bentuk bahan terlarang.
Sehubungan itu, Naidu terkejut apabila dimaklumkan bahawa ujian air kencingnya positif kerana mendakwa beliau juga tidak merokok apatah lagi mengambil dadah.
Jelasnya, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggannya, untuk perjumpaan dan makan Tahun Baharu Cina di lokasi di mana dia kemudiannya ditahan di Perai, Pulau Pinang.
Beliau mendakwa dihidangkan minuman yang ‘aneh’ dan tidak meminumnya selepas merasa sedikit.
“Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika ke tandas, seseorang datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” jelasnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasminya pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang Adun dari Perak ditahan di sebuah kelab malam di Pulau Pinang kerana didapati positif dadah.
Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan pada Jumaat, beliau membuat laporan polis menyatakan bahawa dia terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.
Ujarnya, saksi tersebut memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dilihatnya.
Berikutan itu, beliau memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramarannya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.
“Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.
“Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah,” tambahnya.
Naidu berkata, setelah lama terlibat dalam dunia politik dan setelah dua penggal sebagai Adun, beliau amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat, yang salah satunya untuk mematuhi undang-undang.
“Tiada apa yang berubah dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram