Gagal bayar hutang, rakan dicederakan di Seremban


  • 112
  • Rabu, 12 Jan 2022

BERLAKU pertengkaran mulut suspek semasa mangsa datang ke rumahnya untuk menuntut hutang. — The Star

ANGKARA hutang, seorang buruh kasar dicederakan rakan sendiri dengan objek tajam di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di Taman Dusun Setia, Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 30 tahun telah pergi ke rumah suspek yang berjanji untuk membayar hutang setelah mendapat gaji.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, suspek telah meminjam wang daripada mangsa pada minggu lepas dan berjanji untuk membayar semula pada Selasa.

"Mangsa telah pergi ke rumah suspek seorang diri dengan menunggang motosikal, namun ketika mangsa mahu menuntut hutang daripada suspek, telah berlaku pertengkaran mulut antara kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pertengkaran itu membawa kepada pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga kedua-duanya terjatuh.

Beliau berkata, ketika itu suspek dipercayai ada memegang satu objek tajam dan ia telah terkena pada dada sebelah kanan mangsa sehingga berdarah.

"Polis masih mengesan suspek lelaki berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan" ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pdrm, hutang, rakan, gaduh, cedera