Lelaki didakwa terima deposit pelaburan tanpa lesen lebih RM400,000


HAKIM membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan. — Gambar hiasan

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban pada Jumaat atas enam pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen bagi tujuan pelaburan berjumlah RM449,700, tiga tahun lepas.

B V Jagdeep Singh, 37, didakwa menerima deposit itu daripada Alfred C K Joseph, menerusi enam transaksi bank berjumlah RM25,200 hingga RM235,000 sebagai pelaburan yang tertuduh tidak mempunyai lesen bagi tujuan tersebut.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Maybank Bandar Nilai antara 25 Jun hingga 17 Ogos 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Christopher Enteri Anak Mawan menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Harjinder Singh Sandhu yang mewakili Jagdeep memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai tiga anak berusia dua tahun hingga enam tahun.

Hakim Diana Md Razali membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram