Jangkitan baharu menurun sedikit, catat 3,381 kes


  • Primer
  • Jumaat, 07 Jan 2022

SEBANYAK 3,381 kes direkodkan negara pada Jumaat. — Gambar hiasan / Agensi

NEGARA mencatatkan kes harian baharu Covid-19 sebanyak 3,381 pada Jumaat, menurun sedikit berbanding 3,543 kes yang dicatatkan pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 2,780,080 kes setakat ini.

Menurutnya, sebanyak 98.9 peratus atau 3,344 kes daripada jumlah keseluruhan kes baharu pada Jumaat adalah dalam kategori satu dan dua.

"Selain itu, kes Covid-19 dalam kategori tiga, empat dan lima pula hanya 37 kes iaitu 1.1 peratus.

"Sebanyak 319 kes merupakan kes import melibatkan 284 warganegara dan 35 bukan warganegara. Kes sembuh pula adalah 3,447 kes,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti manakala kadar kebolehjangkitan seluruh negara adalah 0.96.

Sementara itu, beliau berkata, mengenai situasi semasa bencana banjir, sebanyak 56 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 33 kes merupakan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit (sembilan) dan acute gastroenteritis (AGE) (14).

"Tiada kes baharu Covid-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah kes positif kekal 465 kes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram