Pegawai bank di Seremban rugi RM104,000 ditipu 'Sarah'


  • 112
  • Khamis, 30 Dis 2021

KES disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati.

SEORANG pegawai bank berputih mata apabila kerugian RM104,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kad kredit miliknya terlibat dalam transaksi pembayaran Oversea Bitcoin, pada Rabu di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, kejadian kira-kira 9:00 pagi, wanita berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat transaksi daripada kad kredit mangsa berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin dan kemudian panggilan disambungkan kepada wakil pihak Bank Negara bernama 'Sarah'.

"Sarah memberitahu terdapat transaksi atas nama mangsa serta menunjukkan laporan telah dibuat ke atas wanita itu lalu panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang memintanya mengemas kini pita magnetik pada kad.

"Lelaki itu turut meminta mangsa senaraikan kad bank yang ada dan menyuruh wanita itu menukar nombor pin di mesin ATM. Mangsa juga telah memberikan maklumat yang diminta tanpa disedari ia adalah perbuatan Scam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, mangsa yang mengesyaki dirinya diperdaya telah membuat semakan di bank tempatan pada hari sama dan mendapati terdapat pengeluaran sebanyak RM104,000 sebelum membuat laporan polis pada Rabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati, tidak panik dan ambil masa untuk periksa kesahihan informasi yang dimaklumkan individu tidak dikenali.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram