Shafie nafi Warisan tersasar perjuangan asal


  • Politik
  • Rabu, 29 Dis 2021

SHAFIE memaklumkan keputusan melebarkan sayap parti Warisan ke Semenanjung mendapat sokongan Majlis Tertinggi. — Bernama

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, Datuk Peter Anthony yang mendakwa bahawa parti itu tersasar daripada perjuangan asal apabila melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Shafie berkata, langkah ke Semenanjung itu mendapat sokongan daripada Majlis Tertinggi parti sebelum ini dan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan 12 Disember lalu, seluruh anggota Majlis Tertinggi serta anggota parti turut menyokong penuh keputusan itu.

"Keputusan melebarkan sayap parti Warisan ke Semenanjung adalah langkah bagi menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Peter yang juga bekas Naib Presiden Warisan mengumumkan keluar daripada parti itu selepas mendakwa parti berkenaan tersasar dalam perjuangan membela rakyat Sabah apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Peter turut mengumumkan hasratnya menubuhkan sebuah parti baharu yang akan berkerjasama dengan Kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas tindakan Peter keluar parti, Mohd Shafie berkata, ia bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana menurutnya Peter menyatakan hasratnya sebelum ini, bagaimanapun beliau menegaskan dakwaan Peter bahawa Warisan tersasar daripada perjuangannya adalah tidak benar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram