LHDN tak perlu maklum, terima akses terus akaun bank pembayar cukai


  • Primer
  • Rabu, 15 Dis 2021

LHDN kini tidak lagi perlu memaklumkan kepada pembayar cukai sekiranya mahu mendapatkan akaun bank mereka. — The Star

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak lagi perlu memaklumkan pembayar cukai apabila meminta butiran akaun bank mereka daripada bank untuk semakan atau siasatan, menurut cadangan pindaan Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan.

Pakar percukaian, Koong Lin Loong berkata, pembayar cukai sebelum ini perlu menandatangani borang kebenaran sebelum bank boleh memberikan maklumat akaun bank kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, menerusi pindaan berkenaan, pihak berkuasa boleh mendapatkan maklumat tersebut secara terus dengan pihak bank dan bank tidak dibenarkan untuk mendedahkan permintaan terbabit kepada mana-mana individu.

Seksyen 106A adalah antara cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Tambah Lin Loong, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) tidak akan terpakai apabila Seksyen 106A dikuatkuasakan pada masa hadapan.

Berdasarkan PDPA, bank perlu mendapatkan kebenaran pembayar cukai sebelum memberikan butiran akaun bank kepada LHDN.

Seksyen 106A yang dicadangkan juga menyatakan bahawa jika LHDN mendakwa pembayar cukai di mahkamah, LHDN dibenarkan meminta butiran akaun bank pembayar cukai sebaik perintah penahanan dikeluarkan.

"Pihak berkuasa juga boleh meminta maklumat pembayar cukai daripada persatuan untuk menyemak sama ada cukai pendapatan difailkan dari sudut sumbangan derma," ujarnya.

Dianggarkan pengelakan cukai berjumlah RM300 bilion setiap tahun atau 18 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelas Lin Loong lagi, Malaysia menandatangani perjanjian dengan 150 negara berhubung pertukaran maklumat secara automatik.

Malaysia juga mengambil bahagian dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) untuk mematuhi keperluan antarabangsa berkaitan perancangan cukai.

Sementara itu, Ketua Perundingan Cukai dan Kewangan Asia Business Centre, Datuk Chua Tia Guan berkata, apabila LHDN gagal mengutip cukai tertunggak daripada pembayar cukai, ia berhak merampas aset pembayar cukai, termasuk simpanan bank sebaik sahaja ia diberikan perintah mahkamah.

Menurutnya, keperluan baharu itu membolehkan LHDN mengakses terus akaun bank pembayar cukai dan melarang bank daripada memaklumkan pembayar cukai.

"Seksyen itu juga menyatakan bahawa bank boleh didenda antara RM200 dan RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya kerana melanggar peraturan itu," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

LHDN, pembayar cukai, pindaan, RUU, Parlimen, bank