Sebutan semula kes dadah pelakon Niezam Zaidi pada 10 Januari


MUHAMAD Niezam keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Kangsar, Perak pada Rabu selepas menghadapi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis. — Bernama

MAHKAMAH Majistret Kuala Kangsar, Perak pada Rabu menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes memiliki dadah melibatkan seorang pelakon drama dan filem serta dua yang lain.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menetapkan tarikh itu selepas permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan bagi menunggu laporan kimia pada prosiding kes membabitkan pelakon Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 29, bersama pengarah Mohd Latif Zami, 49, dan penolong pengarah Saiful Zaidrin Ismail, 43.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 12 Oktober lepas, ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine di mahkamah sama.

Muhamad Niezam dan Mohd Latif didakwa masing-masing memiliki 1.15 gram dan 0.3 gram dadah jenis kanabis di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar pada 7.15 pagi, 10 Oktober lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di tempat, tarikh dan masa sama dan dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, dilaporkan kesemua mereka ditahan di lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman berkenaan.

Muhamad Niezam sebelum ini terkenal dengan lakonan dalam filem Budak Pailang dan Highland Tower, selain drama seperti Diari Platun, Dewi Lasak dan Mencintaimu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram