AIRASIA menawarkan harga promosi kepada pengembara ke Singapura susulan pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pengembara yang telah lengkap divaksin dari Malaysia yang mahu melakukan perjalanan ke Singapura perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Singapura sebelum membeli tiket penerbangan dan sebaik tiba di negara itu.
Beliau berkata, pelanggan boleh menempah penerbangan mereka ke Singapura daripada harga serendah RM85 sehala bagi perjalanan sehingga 26 Mac 2022 menerusi ikon 'Flights' di Super App AirAsia.
Menurutnya, pelanggan juga boleh mendapatkan tawaran istimewa penerbangan dan hotel menerusi ikon 'SNAP' di Super App dengan penjimatan sehingga 30 peratus, manakala mereka yang memilih menempah hotel secara berasingan boleh menggunakan ikon 'Hotels' di aplikasi tersebut dan mendapatkan tambahan 10 peratus diskaun dengan kod promosi AAHOTEL10.
"AirAsia ingin memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa kami melaksanakan protokol kesihatan dan keselamatan yang sangat ketat dalam semua penerbangan kami dengan kru terlatih kami yang juga telah lengkap divaksin untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik di dunia semasa era pandemik,” katanya dalam satu kenyataan.
Riad berkata, AirAsia menghabiskan masa lebih 18 bulan lepas semasa tempoh penerbangan tidak aktif untuk memantapkan lagi dan mengubah suai prosedur dan proses penerbangan.
"AirAsia menjamin standard keselamatan yang tinggi sebagai sebahagian daripada pelan mitigasi Covid-19 syarikat.
"Ini termasuk menerima hanya pelanggan yang telah lengkap divaksinasi menaiki pesawat, mewajibkan daftar masuk menerusi airasia Super App selain melaksanakan sistem masuk penerbangan pengecaman muka ‘FACES’ bagi menjadikan keseluruhan perjalanan digital sepenuhnya dan tanpa sentuhan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram