RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMKe-12) memerlukan transformasi dari pelbagai aspek termasuk keperluan pemikiran digital-first dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam sektor awam serta keperluan dalam membangunkan tenaga kerja.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, langkah itu penting bagi membangunkan tenaga kerja dalam mendepani landskap pekerjaan di masa hadapan, di samping penyediaan infrastruktur jalur lebar dan teknologi digital yang berkualiti.
Mohd Zuki berkata, laporan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTD) pada tahun ini telah menggariskan beberapa bidang baharu atau frontier technologies, yang perlu diterokai dengan lebih mendalam oleh seseorang individu yang memegang profesion teknikal.
Katanya, ia antara lain termasuk Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), Big Data, Blockchain, 5G, 3D Printing, Robotics, Drone, Gene Editing, Nanotechnology, dan Solar Photovoltaic.
"Kesemua bidang baharu atau frontier technologies ini, meskipun telah ada usaha-usaha untuk membangunkannya, namun masih memerlukan penelitian yang khusus dan mendalam oleh para pegawai dan kakitangan profesion teknikal untuk terus mencipta inovasi baharu demi manfaat rakyat dan kecemerlangan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2021 (HPTN 2021) di Menara Kerja Raya, dekat ibu negara pada Isnin.
Pada masa sama, Mohd Zuki berkata, warga profesion teknikal di sektor awam berperanan untuk bersama-sama kerajaan membantu merancakkan kembali ekonomi negara melalui pembangunan modal insan yang inovatif dan berkemahiran tinggi.
Katanya, ia bagi mempercepatkan penghasilan inovasi dan adaptasi teknologi digital yang dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan seterusnya membantu pemulihan ekonomi negara.
“Pandemik Covid-19 memperlihatkan impak yang mendalam kepada landskap sosioekonomi negara. Dalam konteks ini, bidang teknikal juga tidak terkecuali merasai impaknya.
“Ironinya, tidak dinafikan bahawa pandemik Covid-19 telah mempercepatkan gelombang perubahan teknologi dan perkembangan era pendigitalan di mana pengadaptasian teknologi digital telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram