DUN Sarawak sudah dibubar secara rasmi pada Rabu


  • Politik
  • Jumaat, 05 Nov 2021

ABANG Johari menegaskan PRN12 penting untuk mengembalikan mandat rakyat. — Bernama

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah secara rasmi bubar berkuatkuasa 3 November.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika sidang media khas di Kuching, Sarawak pada Jumaat.

Menurut Abang Johari, adalah penting untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan bagi mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.

"Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pembubaran DUN Sarawak.

"Kerajaan negeri sekarang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga PRN12 diadakan," ujarnya.

Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan.

Bagaimanapun, tiada tarikh tertentu dinyatakan bagi menandakan berakhirnya Proklamasi Darurat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Abang Johari, PRN12, Sarawak, SPR, DUN Sarawak