SEBANYAK 5,071 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Selasa, meningkat berbanding 4,626 kes yang dicatatkan pada Isnin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini mencatatkan 2,481,339 kes setakat ini.
Beliau berkata, di sebalik peningkatan jangkitan harian, kes sembuh Covid-19 mengatasi kes baharu dengan sebanyak 5,372 kes.
Menurutnya, perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 kini 2,385,432 atau 96.1 peratus, berbanding jumlah kumulatif kes baharu 2,481,339.
"Sebanyak 4,950 kes atau 97.6 peratus daripada 5,071 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Selasa dalam kategori satu dan dua, manakala 121 kes atau 2.4 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 5,071 kes baharu Covid-19, sebanyak 5,056 kes adalah jangkitan tempatan, melibatkan 4,815 warganegara dan 241 bukan warganegara manakala sebanyak 15 kes lagi adalah kes import.
Katanya kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini adalah 557 kes dan 300 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham berkata, sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti dengan tiga daripadanya adalah kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster bagi pendidikan lain dan komuniti.
Mengenai kadar kebolehjangkitan, Noor Hisham berkata nilai Rt negara kini adalah pada 0.96 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.06, dan Labuan merekodkan nilai sifar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram