Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 6.8 peratus


  • Bizz
  • Selasa, 12 Okt 2021

INDUSTRI berasaskan eksport menyumbang sebanyak 75.3 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan kenaikan 14.3 peratus (RM95.2 bilion).

NILAI jualan sektor pembuatan pada Ogos tahun ini menunjukkan peningkatan 6.8 peratus kepada RM126.5 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia menjelaskan, peningkatan 5.5 peratus berbanding bulan sebelumnya juga disebabkan oleh keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara lebih meluas.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertambahan nilai jualan dipacu subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (31.4 peratus).

"Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (7.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan serta subsektor produk elektrik dan elektronik (6.9 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, nilai jualan bagi industri berasaskan eksport menyumbang sebanyak 75.3 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan kenaikan 14.3 peratus (RM95.2 bilion).

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, industri berorientasikan domestik mencatatkan kejatuhan sebanyak 10.8 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

"Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

"Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik, masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 3.5 peratus dan 12.2 peratus,” katanya.

Dalam aspek tenaga kerja, terdapat 2.21 juta pekerja dalam sektor pembuatan pada Ogos 2021, meningkat 1.0 peratus berbanding 2.19 juta pada Ogos 2020 dan ini disumbangkan menerusi produk elektrik dan elektronik (4.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.8 peratus).

Jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.23 bilion, meningkat 1.7 peratus atau RM117.5 juta pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Purata gaji dan upah setiap pekerja pada Ogos tahun ini adalah sebanyak RM3,266.

"Jumlah pekerja, gaji dan upah, masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus dan 2.3 peratus iaitu berjumlah 2.21 juta orang dan RM59.2 bilion,” katanya. — Majoriti