PEMULIHAN bekalan air di 50 kawasan yang terjejas di sekitar Kuala Lumpur berikutan kebocoran paip pengepaman di Rumah Pam Segambut pada Ahad telah mencapai tahap 80 peratus setakat jam 6 pagi Isnin.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, terdapat sepuluh lagi kawasan yang belum pulih iaitu Anjung Tiara, Bukit Prima Pelangi, Bukit Segambut, Dutamas dan Taman Bukit Sri Bintang.
Turut terlibat adalah Taman Flora Impian, Taman Prima Impian, Taman Seri Bukit Segambut, Taman Sri Bintang dan Taman Sri Sinar.
Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
"Pengguna yang telah mendapat bekalan air dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.
"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk maklumat insiden dari semasa ke semasa," kata Elina dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, katanya, sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. — Majoriti