KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 bagi meningkatkan lagi perlindungan khususnya kepada golongan rentan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.
Ini termasuk anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya imun (imunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.
Menurut Ismail, pemberian dos ketiga ini akan mula dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.
"Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.
"Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini," katanya.
Perincian penuh mengenai pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 ini akan diumumkan Menteri Kesihatan kelak.
Dalam pada itu, suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka mula dilaksanakan pada awal Oktober ini. Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram