Air bawah tanah punca tanah runtuh Kemensah


  • 112
  • Sabtu, 18 Sep 2021

PIHAK berkuasa meneliti lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights. — Agensi
RUNTUHAN tanah yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights di Kuala Lumpur pada Jumaat, dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam tadi (Jumaat), yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

"Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.

"Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan umum mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.

Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tanah runtuh, kemensah