Lagi kes amuk guna sabit, kali ini di Pulau Pinang


  • 112
  • Jumaat, 17 Sep 2021

TANGKAP layar video yang tular menunjukkan suspek bersenjatakan sabit mengamuk di jalan. — Facebook

CUBAAN seorang lelaki melarikan diri selepas mengamuk dan menganggu pengguna jalan raya di Jalan Bukit Gambir dengan mengacukan dua bilah sabit gagal apabila berjaya ditahan polis.

Suspek bertindak melarikan diri dengan memasuki kawasan hutan simpan reakreasi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas Balai Polis Sungai Nibong menerima laporan daripada orang awam.

Soffian berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak turut turun membantu dan mendapati lelaki berkenaan sedang ‘buat kacau’ sebelum melarikan diri ke hutan simpan rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM).

"Pasukan polis dan bomba menjalankan operasi mengesan lelaki itu namun ia terpaksa dihentikan kira-kira pukul 2 pagi tadi kerana keadaan gelap dan berisiko kepada pasukan keselamatan," katanya dalam kenyataan.

Operasi disambung semula pada jam 10 pagi dengan menggunakan pacuan empat roda dan usaha pencarian hanya memerlukan 10 minit sebelum suspek berjaya dijumpai berada di kawasan kabin tanaman milik USM.

Bagaimanapun, Soffian berkata, suspek enggan menyerah diri dan bertindak agresif serta melarikan diri ke arah jalan utama iaitu Jalan Bukit Gambir malah turut bertindak menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk di kawasan perumahan berhampiran.

Lelaki berkenaan berjaya ditahan pada jam 11.40 pagi di kawasan Jalan Bukit Gambir dan pihaknya turut merampas dua bilah sabit yang digunakan suspek.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 53 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta motif dia berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan dan penilaian tahap kesihatan mentalnya.

Lelaki berkenaan direman bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sebelum ini negara digemparkan dengan kejadian amuk di depan Balai Polis Gopeng apabila seorang lelaki bertindak memanjat sebuah kereta peronda polis dan melibaskan sabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram