
KERAJAAN perlu mengambil alih aplikasi MySejahtera daripada syarikat luar dan menguruskannya sendiri bagi menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung ketika ini, kata pakar.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asia Techbiz, Mahyudi Md Yusof, berkata beliau menyambut baik penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap aplikasi MySejahtera tetapi jelasnya, kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membayar syarikat yang menguruskan aplikasi tersebut.
"Setiap kali mahu menambah baik aplikasi berkenaan, pastinya akan ada cas yang dikenakan oleh pihak pembangun dan cas yang dikenakan juga bukanlah murah. Itu tidak termasuk kos pengendalian lagi.
"Sepatutnya kerajaan harus ambil alih aplikasi MySejahtera dan tubuhkan satu unit di bawah kerajaan untuk mengendalikan aplikasi ini, dengan itu kerajaan akan dapat menjimatkan banyak wang," katanya kepada Majoriti.
Tegasnya, perkara ini juga ada kaitan dengan maklumat data pengguna kerana aplikasi berkenaan dibangunkan dan diselia oleh syarikat luar.
"Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila MySejahtera tidak diuruskan sendiri oleh kerajaan, kita tidak tahu sama ada data kita selamat atau tidak.
"Di negara ini juga pernah berlaku kes kebocoran data melibatkan syarikat telco beberapa tahun dahulu... Benda yang sama juga boleh berlaku kepada MySejahtera," katanya.
Tunggu proses matang
Dalam pada itu, pakar teknologi maklumat dan CEO Fix & Go, Mohd Haaziq Mohd Yusof mengakui masih terlalu awal untuk menilai penambahbaikan baharu yang dilakukan itu.
Sambil memuji penambahbaikan itu akan lebih memudahkan peniaga dan pengguna, katanya, ia harus melalui 'tempoh matang' terlebih dahulu seperti awal-awal kewujudannya dahulu.
"Dengan penambahbaikan yang dilakukan, ia sedang melalui proses kematangan dan kita harus menunggu beberapa ketika sebelum ia stabil.
"Contohnya, ketika awal-awal penggunaan MySejahtera dahulu, saya dapati proses daftar masuk agak perlahan, tetapi sekarang ia telah menjadi lebih baik," jelasnya.
Dia mencadangkan supaya kerajaan turut membenarkan maklumat-maklumat tertentu seperti lokasi daftar masuk dan maklumat pengguna untuk dikongsi kepada pihak-pihak tertentu seperti pihak hospital dan badan-badan berkenaan.
"Bagi saya data ini sangat penting bukan sahaja untuk kajian, tetapi juga untuk orang awam melihat corak Covid-19 di negara ini," katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Khamis mengumumkan bahawa aplikasi MySejahtera mengemaskini beberapa penambahbaikan bermula semalam.
Antara penambahbaikan yang akan berlaku adalah status vaksinasi dan risiko di bahagian daftar masuk, serta butang daftar keluar yang dikatakan mampu membantu proses pengesanan kontak dengan lebih baik.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram