GOLONGAN yang terkesan akibat Covid-19 bakal menerima kemudahan kediaman dengan kadar sewa paling minimum untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan ada rakyat yang hilang pekerjaan, tidak mampu menampung perbelanjaan harian serta membayar sewa kediaman.Malah katanya antara yang terjejas teruk adalah golongan penjaja, peniaga kecil dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Katanya maklumat lanjut berkenaan inisiatif bantuan kediaman itu akan diumumkan pada Isnin ini,
"Bukan sahaja kehilangan kerja malah hilang kediaman apabila tidak mampu bayar sewa,” katanya pada sidang media, Khamis.
Berhubung program vaksinasi, Reezal Merican berkata, KPKT akan meneruskan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0) dengan memfokuskan kepada penghuni PPR dan peniaga kecil di enam negeri yang kadar vaksinasinya rendah iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah.
"Saya telah meminta pegawai saya menyediakan data mengenai golongan sasar yang masih belum mendapat vaksinasi iaitu mereka yang tinggal di 140 PPR seluruh negara dan peniaga kecil,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membekalkan 80,000 dos suntikan vaksin untuk program MOVAK dengan seramai 33,000 golongan sasar di seluruh negara telah menerima suntikan tersebut setakat ini.
Reezal Merican berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi membincangkan mengenai tambahan bekalan vaksin untuk meningkatkan kadar pemberian suntikan vaksin menerusi program MOVAK 2.0.
Dengan berpegang pada konsep Keluarga Malaysia, Reezal Merican berkata, beliau akan memastikan perancangan KPKT berjalan lancar untuk memastikan persekitaran rakyat adalah selamat apabila menjalani kehidupan normal kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram