BENCANA alam seperti tragedi kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu yang meragut enam nyawa tidak mustahil akan berulang kembali dengan lebih kerap di negara ini, kata pakar.
Fenomena kepala air yang didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan itu, juga diyakini pakar ada kaitan dengan pemanasan global yang menyumbang kepada perubahan iklim yang kini berlaku di seluruh dunia.
Pakar meteorologi, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, kekerapan kejadian cuaca ekstrem dijangka terus meningkat di dunia, khususnya ribut petir dan taufan.
"Ini kerana apabila atmosfera panas, ia boleh menyimpan lebih banyak wap air atau haba pendam, dan bila banyak wap air maka lebih banyaklah lagi haba pendam dan ini akan merangsang (meningkatkan lagi) kuasa ribut petir yang dijana,” katanya.
Dalam konteks Malaysia, beliau berkata disebabkan negara ini terletak di kawasan tropika lembap, cuacanya amat dipengaruhi oleh kejadian ribut petir dan peningkatan suhu atmosfera menyebabkan lebih banyak wap air disimpan, sekali gus meningkatkan kuasa ribut petir yang seterusnya merangsang hujan lebih lebat dan angin yang lebih kuat.
"Berasaskan logik ini, cuaca ekstrem khasnya hujan yang dulu mempunyai return period satu hingga 50 tahun mungkin akan berlaku lebih kerap antara satu hingga 20 tahun,” jelas beliau.
Azizan yang merupakan Pengarah Pusat Kebangaan Penyelidikan Antartika, Universiti Malaya, menjelaskan peningkatan paras air laut akan memberi kesan besar kepada kehidupan manusia terutama mereka yang tinggal berhampiran zon pantai.
Mengambil contoh Yan yang terletak berhampiran pantai, beliau berkata, pertanian di kawasan itu akan terkesan dengan fenomena tersebut, terutama kegiatan penanaman padi berikutan tanihnya (lapisan tanah yang subur di bawah lapisan paling atas) menjadi lebih masin.
Pandangan itu turut dipersetujui pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman yang berpendapat aktiviti manusia menjadi penyumbang utama peningkatan kepekatan gas rumah hijau (GHG) yang akan mempengaruhi suhu bumi.
“Ini berlaku apabila haba yang masuk ke dalam sistem iklim lebih tinggi berbanding yang dilepaskan ke angkasa, dan di Malaysia kesannya boleh dilihat menerusi ketidaktentuan sistem iklim dan cuaca.
“Antaranya, curahan hujan tidak lagi tetap mengikut musim malah kadangkala ekstrem sehingga menyebabkan peningkatan kekerapan bencana banjir dan tanah runtuh seperti yang berlaku di Yan, Kedah,” jelas beliau
Haliza berkata, kadar hujan tidak menentu dengan jumlah yang sukar dijangka akan mengganggu corak kegiatan ekonomi seperti sektor pertanian yang seterusnya mempengaruhi pendapatan petani dan kemandirian mereka yang akhirnya memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram