Najis atas sejadah imam, air kencing di dinding surau


  • 112
  • Rabu, 01 Sep 2021

Baharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. — Sinar Harian

POLIS sedang menyiasat satu kes perbuatan khianat di tempat ibadat selepas menerima aduan mengenai penemuan najis di atas sejadah imam dan kesan air kencing di dinding surau di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di Dungun, Terengganu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah berkata, pengadu turut mendakwa paip air di surau berkenaan juga sengaja dibiarkan terbuka, manakala beberapa al-Quran ditemui dibuang berselerakan di kawasan kebun yang berhampiran.

Menurut beliau, pengadu memberitahu bahawa selepas surau ditutup apabila selesai solat Isyak pada Selasa, pengadu merupakan orang pertama hadir ke surau pada pukul 5.30 pagi Rabu untuk melaungkan azan Subuh, dan dia mendapati surau tidak berkunci.

"Suspek dipercayai masuk ke dalam surau melalui pintu utama dan telah melakukan perbuatan-perbuatan khianat itu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Baharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat, manakala suspek masih dikesan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

baharuddin, khianat, surau, al-quran,