Shahidan Kassim teruskan legasi Annuar Musa


  • Primer
  • Selasa, 31 Ogos 2021

Shahidan menggantikan Annuar yang kini dilantik sebagai Menteri Multimedia dan Komunikasi. — The Star

MENTERI Wilayah Persekutuan baharu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berhasrat untuk meneruskan pelan tindakan yang telah dirangka oleh Menteri sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa.

Shahidan yang mengangkat sumpah semalam berkata, tiada masalah untuknya menyambung program sedia ada yang telah dilancarkan oleh Annuar kerana kesemua ahli Kabinet bekerja sebagai satu pasukan.

"Semua program akan diteruskan. Apa yang telah dilakukan oleh rakan-rakan saya, saya akan teruskan, walaupun mereka telah berpindah ke Kementerian lain," katanya ketika ditemui pada hari pertamanya di Menara Seri Wilayah semalam.

Turut hadir adalah timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Agung Kementerian, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Shahidan berkata, beliau dan timbalannya telah diberi taklimat oleh Setiausaha Agung dan akan bertemu dari masa ke masa untuk membincangkan hal-hal berkenaan kementeriannya.

"Kami mempunyai pelan jangka panjang dan jangka pendek, kami akan melakukan yang terbaik untuk kementerian," jelas beliau.

Dalam satu catatan Facebook berasingan semalam, Shahidan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menaruh kepercayaan kepadanya untuk menerajui kementerian tersebut.

"Saya sungguh berbesar hati kerana diberi tanggungjawab ini dan akan melakukan yang terbaik.

"Saya percaya bahawa kerjasama yang erat antara agensi-agensi akan memberi keyakinan dalam perjuangan kita menentang Covid-19," tulisnya.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau, merupakan bekas Menteri Besar Perlis dari 1995 hingga 2008, dan kemudian dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga 2018.

Beliau menggantikan Tan Sri Annuar Musa, yang kini dilantik sebagai Menteri Multimedia dan Komunikasi.

Jalaluddin, yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu, menggantikan Datuk Seri Dr Edmund Santhara, yang kini menjadi Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram