'Lebaran duluan', masyarakat di Yogyakarta sambut Aidilfitri 2 hari awal daripada Malaysia


  • Benua
  • Khamis, 20 Apr 2023

Masyarakat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Komplek Masjid Aolia di Panggang III, Giriharjo, Panggang, Gunungkidul di Yogyakarta, Indonesia pada Khamis. — Foto/Agensi.

TATKALA rakyat Malaysia teruja selepas mendapat tahu tentang tarikh menyambut Aidilfitri yang akan disambut pada Sabtu, sebuah penempatan di Yogyakarta, Indonesia sudah meraikan Aidilfitri hari ini.

Ratusan jemaah Aolia, Panggang, Gunungkidul, melakukan solat sunat Aidilfitri di Komplek Masjid Aolia di Panggang III, Daerah Istimewa Yogyakarta, Indonesia dari pimpinan jemaah Aolia Mbah Benu atau Raden Ibnu Hajar Sholeh.

Menurut sumber portal berita tempatan, jemaah dilihat mula memenuhi Masjid Aolia Jalan Panggang-Purwosari seawal pukul 6 pagi tadi.

Bagaiamanpun CNBC Indonesia melaporkan, pimpinan Pusat Muhammadiyah, Indonesia menetapkan 1 Syawal 1444 Hijrah jatuh pada esok iaitu Jumaat 21 April 2023.

Ketua PP Muhammadiyah, Prof Dr H Syamsul Anwar MA, mengumumkan tarikh berkenaan melalui siaran langsung di YouTube rasmi PP Muhammadiyah.

Ia dibuat berpandukan Hisab Hakiki Wujudul Hilal yang berpandukan Majlis Tarjih dan Tajdid.

Terdahulu dalam acara berkenaan, beliau turut memaklumkan bahawa 1 Ramadan bertetapan dengan 23 Mac lalu dan 1 Zulhijjah akan bermula pada 19 Jun depan.

Hasil hisab menunjukkan bahawa pada hari Isnin, 29 Syaaban bersamaan dengan 21 Mac lalu, ijtima' menjelang Ramadan belum bermula.

Katanya, ijtima' akan berlangsung keesokan harinya, iaitu pada Rabu, 30 Syaban atau 22 Mac pada 12.25 tengah malam waktu Indonesia.

Hilal muncul ketika matahari terbenam di Yogyakarta dan bulan berada di atas ufuk di seluruh Indonesia ketika matahari terbenam ketika itu.

Selain itu, Muhammadiyah turut menetapkan awal bulan Qamariah termasuk Ramadan, Syawal, dan Zulhijah tidak berdasarkan penampakan, melainkan berdasarkan pada posisi geometris benda-benda langit iaitu Matahari, Bumi, dan Bulan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Abdullah Jaidi menjangkakan terdapat kemungkinan waktu penentuan 1 Syawal di negara itu berbeza dengan negara-negara lain di rantau ini.

Kemungkinan perbezaan sambutan Aidilfitri di rantau ini pada tahun ini adalah kerana ketika matahari terbenam pada Khamis, kedudukan bulan di Indonesia tidak memenuhi kriteria baru Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura (MABIMS) iaitu ketinggian minimum 3 darjah dan pemanjangan 6.4 darjah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram