[VIDEO] 500 hilang tempat tinggal, kawasan setinggan sebelah Gangnam terbakar


  • Benua
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di Guryong, Korea Selatan. — Agensi

SERAMAI 500 penduduk di sebuah kawasan terpencil di Seoul, Korea Selatan hilang tempat tinggal selepas rumah mereka yang dibina menggunakan kadbod dan kayu musnah terbakar pada pagi Jumaat.

Kampung Guryong yang juga merupakan kawasan setinggan yang terletak di seberang kawasan popular, Gangnam dan pihak berkuasa mengambil masa selama lima jam untuk memadamkan kebakaran.

Guryong menempatkan kira-kira 1,000 orang dan merupakan kawasan setinggan yang terakhir berada di Seoul.

Menurut pegawai, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

10 buah helikopter serta ratusan anggota bomba, polis dan tentera telah dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

"Saya nampak cahaya terang pada mulanya. Kemudian saya buka pintu dan melihat api sudah marak dari rumah sebelah.

"Dengan pantas saya mengetuk setiap pintu yang ada sambil menjerit api untuk menyelamatkan penduduk berhampiran sebelum menghubungi pihak berkuasa," kata Shin, wanita berusia 72 tahun.

Sementara itu, Kim Doo-chun, 60, berkata, dia dan keluarganya bernasib baik kerana tidak menjadi mangsa tetapi mengakui bahawa kawasan itu sentiasa berisiko tinggi.

"Kawasan setinggan ini dibina dengan menggunakan kayu dan kadbod. Jarak antara rumah juga sangat dekat dan risiko kebakaran sentiasa ada," katanya.

Untuk rekod, kerajaan Korea Selatan sebelum ini sudah beberapa kali berbincang dengan penduduk untuk membangunkan kawasan tersebut namun terpaksa keputusan akhir terpaksa ditangguhkan ekoran tidak menemukan kata sepakat berkaitan dengan pampasan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram