2 hakim antara 4 ditahan positif dadah, simpan alat hisap syabu di mahkamah


  • Benua
  • Isnin, 23 Mei 2022

Dua hakim ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dalam kes dadah. — Agensi

DUA hakim Mahkamah Rangkasbitung di Banten, Indonesia ditahan Badan Narkotik Nasional (BNN) Banten kerana terlibat dalam kes dadah.

Ketika tangkapan, BNN menemui dadah jenis methamphetamine atau syabu di mahkamah.

Ketua BNN Banten, Hendri Marpaung berkata, pihaknya pada mulanya menahan seorang penjawat awam mahkamah dikenali RASS, 32, yang mengambil 20.6 gram methamphetamine kristal di sebuah pejabat kurier, sebelum melakukan siasatan lanjut ke Mahkamah Rangkasbitung.

Setibanya di mahkamah itu, BNN menahan seorang hakim dikenali sebagai YR, 39.

"Pasukan kami menahan YR dan membuat serbuan di pejabatnya sambil disaksikan oleh orang atasannya. Ternyata, dia mempunyai alatan untuk menggunakan methamphetamine," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Antara barangan yang ditemui adalah pipet, bong dan pemetik api yang digunakan suspek.

Suspek segera diuji dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Ternyata kedua-dua RASS dan YR positif," katanya.

Pada masa sama, kedua-dua suspek mendakwa bahawa dadah tersebut turut digunakan oleh hakim DA, 39.

"Kami juga melakukan ujian air kencing dan ternyata DA disyaki menggunakan dadah tersebut," kata Hendri.

Selain itu, pembantu rumah DA juga didapati positif dadah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram