Sembilan penyu seludup cedera diikat dengan tali


  • Benua
  • Sabtu, 19 Feb 2022

SEEKOR daripada penyu yang diseludup diperiksa oleh pasukan perubatan. — Agensi

SEMBILAN ekor penyu jenis Chelonia Mydas yang diseludup di Jembarana, Bali, Indonesia mengalami luka dan kini dirawat oleh pasukan perubatan.

Ketua Pusat Pengurusan Sumber Daya Pantai dan Laut (BPSPL), Denpasar Permana Yudiarso pada Sabtu berkata, penyu-penyu tersebut diselamatkan oleh pihak berkuasa pada Jumaat.

Pemeriksaan meliputi ukuran badan dan keadaan fizikal penyu, selain haiwan itu diberi tag oleh Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Bali.

"Penyu-penyu tersebut diberi tag idb 01172, idb 01166 dan idb 01170, manakala terdapat luka pada sirip haiwan itu akibat diikat dengan tali. Namun, luka itu tidak mengganggu pergerakan sirip dan ia masih berfungsi seperti biasa," jelasnya.

Pasukan perubatan memberi rawatan, ubat antiseptik dan perangsang metabolisme ke atas haiwan itu sebelum mengambil sampel darah.

Sementara itu, ukuran morfometrik menunjukkan, penyu terbesar mempunyai ukuran sepanjang 130 sentimeter, manakala yang terkecil sepanjang 44 sentimeter.

Lapan daripada penyu tersebut merupakan betina manakala seekor lagi adalah jantan serta tiada tanda-tanda dehidrasi ditemukan pada kesemua haiwan itu.

Pada masa sama, Yudiarso berkata, kesemua penyu tersebut kini ditempatkan di Kelompok Pelestari Penyu (KPP) Kurma Asih, di Desa Perancak, Kecamatan Negara, Kabupaten Jembrana, Bali.

"Setakat pemerhatian kami, kesemua penyu ini berada dalam keadaan sihat dan boleh dilepaskan sepenuhnya. Namun, ketika ini penyu itu masih dalam jagaan KPP Kurma Asih kerana mereka menggangap haiwan itu masih dalam proses penyelidikan sehingga ia boleh dilepaskan kembali," katanya.

Terdahulu, pihak polis menggagalkan rancangan penyeludupan sembilan ekor penyu di Jembrana, Bali.

Polis percaya, penyu-penyu tersebut diseludup untuk tujuan makanan dan upacara keagamaan.

"Sembilan penyu itu diseludup untuk digunakan oleh masyarakat Bali Selatan dan dipercayai untuk meraikan perayaan besar agama Hindu pada bulan Mac," kata polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penyu, ikat, luka, Chelonia Mydas, Bali, makanan, seludup, Hindu