Serangan bom di selatan Thailand


  • Benua
  • Ahad, 30 Jan 2022

KAKITANGAN hospital membawa mayat suspek pemberontak yang ditembak mati di daerah Ra-Ngae, wilayah Narathiwat, Thailand pada Sabtu. — AFP

SEKURANG-KURANGNYA 13 letupan berlaku di sebuah bandar di selatan Thailand pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa, dua suspek pemberontak ditembak mati oleh polis dalam serbuan berasingan selepas mengepung wilayah berdekatan selama 20 jam.

Meskipun pihak berkuasa tidak mengaitkan kedua-dua insiden itu secara langsung, namun keganasan berlaku beberapa minggu selepas kerajaan membuka semula dialog dengan pemberontak daripada kumpulan minoriti Melayu-Islam di bahagian selatan negara tersebut.

Pasukan tentera dan polis mengepung sebuah rumah di daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat pada Jumaat lalu selepas menerima maklumat bahawa suspek yang dikaitkan dengan serangan bom tahun lalu bersembunyi di sana.

Pihak berkuasa berkata, mereka cuba berunding dengan suspek, sebelum akhirnya menyerbu rumah berkenaan.

Seorang renjer sukarelawan cedera dan dua suspek terbunuh dalam serbuan terbabit.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, Timbalan jurucakap polis, Kissing Phathanacharoen memaklumkan seorang cedera apabila sekurang-kurangnya 13 letupan kecil melanda bandar Yala lewat Jumaat lalu, kebanyakannya di tepi jalan di hadapan kedai serbaneka, kedai, pasar, hospital haiwan dan kedai membaiki kereta.

Pada Sabtu, polis menemui sekurang-kurangnya tiga bom yang tidak meletup, diperbuat daripada tin semburan dan paip logam dengan alat jangka masa.

Tambah Kissana, polis mengesyaki letupan itu bertujuan menyebabkan kekecohan berbanding kerosakan atau kecederaan.

Seperti kebanyakan serangan di selatan Thailand, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Kumpulan pemberontak utama di wilayah tersebut, Barisan Revolusi Nasional, enggan memberikan sebarang komen.

Menurut kumpulan Deep South Watch yang memantau keganasan itu, lebih 7,300 orang maut sejak 2004 dalam pemberontakan pemisah di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang kebanyakannya etnik Melayu.

Kumpulan pemberontak menuntut kemerdekaan untuk wilayah bersempadan dengan Malaysia itu, yang menjadi sebahagian daripada pemerintahan kesultanan Patani pada 1909.

Kerajaan Thailand memulakan semula dialog damai dengan kumpulan pemberontak utama selepas rehat dua tahun perbincangan akibat pandemik Covid-19. — Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram