'Macam zaman Mat Don', Nafuzi Ball mula tuai hasil di bumi Darul Iman


  • Podium
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Tomislav dan Nafuzi pernah berkerjasama di Terengganu pada musim 2022. — Facebook/TFC

HASRAT pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk melakar kemenangan kedua menentang Terengganu FC (TFC) dalam kejohanan Agarbomb Performance Cup 2024 tidak kesampaian apabila kedua-dua kelab sekadar terikat 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat.

Terengganu menurunkan lima pemain import dengan harapan untuk menewaskan anak-anak buah Nafuzi Zain bagi menempatkan diri mereka sebagai pendahulu kumpulan kejohanan.

Namun begitu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner gagal memanfaatkan peluang itu meskipun Kedah hanya membariskan empat pemain import.

Impian penyokong TFC untuk melihat kelibat Sony Norde beraksi semula di atas padang tidak kesampaian apabila namanya tiada dalam skuad Kedah.

Sang Penyu terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi bekas penyerang Kelantan, Ismaheel Akinda pada minit ke-48 perlawanan sebelum Akmal Zahir (Kedah) menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu.

Permainan kedua-dua pasukan kelihatan sangat seimbang dalam menyerang dan menghalang asakan pihak lawan di kawasan sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Musim berjimat Liga M, hanya 3 pasukan nikmati pramusim di negara orang

Tamat perlawanan, penyokong Kedah berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak-anak buah Nafuzi Zain meskipun pasukan itu berada dalam kemelut isu tunggakan gaji.

Dalam ruangan komen, penyokong Kedah terimbau kembali corak permainan ala-ala Tiki-Taka yang pernah dimainkan Sang Kenari semasa dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Ia tidak mengejutkan jika Kedah kembali bermain dengan hantaran-hantaran pendek kerana Nafuzi juga mempunya falsafah permainan bermula dari bawah yang diberi gelaran 'Nafuzi Ball'.

Sehubungan itu, penyokong Kedah kembali teruja untuk melihat Sang Kenari beraksi dalam liga yang akan membuka tirainya pada 10 Mei nanti.

"Harap ada sinar dengan skuad kali ini, lega bila Shafiq Ahmad ada dalam pasukan, semoga cepat serasi dan misi membelasah Penang pula selepas ini," kata Kudin Kickdafella.

"Perlawanan 'best', import paling menyerlah Nurul (Sukhrob Nurullaev) dah boleh lupakan Manuel Hidalgo dengan pemain import musim lalu," ujar Md.Rejab.

"Macam Mat Don masa dia mula-mula 'join' Kedah dulu," jelas Tirmizi Abdul Razak.

"Permainan nampak dah semakin serasi, hantaran-hantaran pendek pun menjadi semalam (Jumaat), harap-harap perlawanan sebenar nanti lebih baik," luah Fauzi Man.

BACA LAGI: Bukan masa sesuai ganti KJ sebagai Presiden FAM — Pekan Ramli

Agarbomb Perfomance Cup

Kedudukan pasukan selepas perlawanan kedua pada Jumaat. Facebook/KDA FC

Kedah selepas ini akan bertemu Penang FC sebelum pulang ke Darul Aman untuk melakukan persiapan perlawanan Liga Super yang pertama menentang PDRM FC di Stadium Selayang pada 11 Mei nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram