Buat untung atas angin, senang-senang upah melampau caj tukar duit raya RM10 setiap RM100


  • Massa
  • Khamis, 28 Mac 2024

Melalui satu hantaran Facebook, individu berkenaan mengambil kesempatan mengambil upah bermula RM10 untuk setiap RM100. — Gambar hiasan

BERBAKI beberapa minggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sudah semestinya pada ketika ini masing-masing sudah mula sibuk membuat persiapan.

Dalam membuat persiapan raya, pasti ada perkara yang kita terlupa untuk buat seperti menukar duit raya kepada jumlah tertentu kerana kekangan masa untuk ke bank dan sebagainya.

Apatah lagi dalam kesibukan harian sudah pasti ada yang mengupah pihak tertentu seperti khidmat orang perseorangan bagi menukar wang-wang not besar di bank untuk dijadikan sebagai duit raya.

Namun tindakan sesetengah individu yang mengambil upah yang tinggi untuk menukar wang tersebut mengundang kecaman warga maya baru-baru ini.

BACA LAGI : Persediaan raya hambar, rakyat Malaysia lebih suka beli 'online' dan 'last minute'

Melalui satu hantaran Facebook, seorang individu dikenali E***a S***h mengambil kesempatan mengambil upah bermula RM10 untuk setiap RM100.

Menurutnya, kesemua not wang RM1, RM5 dan RM10 tersebut akan disediakan pada hari yang sama.

"Ready stock, tukar duit raya.

"Caj perkhidmatan RM10 setiap RM100. Tiada risiko di scam atau penipuan.

"Boleh terus jumpa dan tukar hari yang sama. Penghantaran (COD) mengikut kawasan," tulisnya.

BACA LAGI : ASB 2 agih pendapatan 5.25 sen seunit, ASM 4.75 sen

Susulan daripada itu, ada dalam kalangan warga maya menyarankan orang ramai menukar duit raya di bank daripada menggunakan khidmat orang perseorangan kerana boleh membawa kepada unsur riba.

"COD boleh dikenakan bayaran tetapi perdagangkan duit satu riba. Kalau kata upah kita tak boleh letak nilai, biar seikhlas hati," kata Zul Ismail.

Sementara itu, Shahriman Azil pula meminta orang ramai tidak mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh individu berkenaan.

"Jangan mudah percaya dengan servis sebegini, bahaya untuk orang awam juga. Kita tak tahu mana dia dapat duit tersebut, betul ke dari bank?

"Risau juga dapat yang duit palsu, tak pasal-pasal pagi raya nanti boleh buat gaduh sesama saudara," tulisnya.

Azhar Baharuddin pula meninggalkan satu komen sinis pada hantaran Facebook individu berkenaan.

"Patutlah banyak duit habis bila kami nak tukar duit raya. Semata-mata nak untung lebih, RM10 dia minta upah tambah lagi upah COD.

"Kalau RM2 aku nak tukar. Kalau macam ini gayanya boleh buat aduan pada Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, tindakan individu terbabit diibaratkan seperti membuat untung atas angin dengan menyediakan khidmat sedemikian.

"Duit raya pun ada scalpers rupanya, buat duit atas angin senang-senang macam tu," ujarnya.

"Baru perasan RM100 untuk RM10...kalau RM1,000 buta-buta dapat RM100 (upah)," kata Mimi Habib pula.

Dalam pada itu, bagi tahun 2024, antara bank yang menyediakan perkhidmatan pertukaran duit adalah seperti Maybank, Affin Bank, Ambank dan banyak lagi.

Untuk pertukaran di Maybank ATM, anda boleh pergi ke cawangan terpilih yang berdekatan.

Kemudian pilih mesin ATM yang ada gambar ‘Dapatkan Wang Kertas RM10 di Mesin Ini’, klik ‘Pengeluaran’ dan pilih amaun yang dikehendaki.

Maksimum pengeluaran adalah RM300 sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram