[VIDEO] Tular bakar mercun tak pakai helmet atas jalan, lelaki miliki 7 rekod lampau kena tahan polis


  • 112
  • Khamis, 28 Mac 2024

Tangkap layar seorang lelaki membaling mercun dalam sebuah perarakan bermotosikal dekat persimpangan lampu isyarat di Pekan Banting, Selangor pada Rabu.

SEORANG lelaki ditahan polis selepas terlibat dalam satu perarakan bermotosikal yang turut melakukan aktiviti membakar mercun di persimpangan lampu isyarat di Pekan Banting, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai satu perarakan pengebumian dan membakar mercun di lokasi itu pukul 2.28 petang.

Jelas beliau, hasil maklumat membawa kepada penahanan lelaki tempatan itu di sekitar Banting, kira-kira pukul 3.30 petang hari sama.

“Suspek dipercayai menyertai perarakan bersama beberapa individu bermotosikal lain yang menahan kenderaan awam dan membakar mercun.

“Saringan air kencing suspek didapati positif amphetamine serta methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis digesa siasat lelaki mamak junjung al-Quran bela diri lepas dakwa orang Melayu pemalas

BACA LAGI: Buat untung atas angin, senang-senang upah melampau caj tukar duit raya RM10 setiap RM100

Tambahnya lagi, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu turut positif dadah dan memiliki rekod jenayah lampau.

“Selain itu, tiga saman berkaitan lalu lintas dikeluarkan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis juga sedang giat mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan kes itu.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram