Komitmen Syahmi-Feroz pikat hati Xisco Munoz, Haqimi Azim tak sangka tampil debut bermakna


  • Podium
  • Selasa, 13 Jan 2026

Syahmi dan Feroz kembali beraksi untuk JDT selepas kedua-dua pemain tersebut mengalami kecederaan serius ACL sebelum ini. — Facebook/JDT

 

 

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super menerusi 42 mata maksimum hasil 14 kemenangan dengan tumpuan diberikan kepada dua pemain mereka yang kembali menghangatkan saingan selepas sekian lama dibelenggu kecederaan.

Syahmi Safari dan Feroz Baharudin menjadi perhatian selepas diberi peluang untuk kembali membantu pasukan selepas kedua-dua pemain tersebut mengalami kecederaan serius ACL sebelum ini.

Syahmi sebelum ini telah diturunkan untuk beraksi dalam dua perlawanan liga terdahulu sebagai pemain gantian dan akhirnya selepas sekian lama, peluang diberikan untuknya kembali berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Negeri Sembilan FC pada Jumaat lalu.

BACA LAGI: ‘Work in progress’, Arif Aiman bangkit keghairahan peminat JDT

BACA LAGI: Muncul watak penting JDT, kualiti padang lawan dugaan paling dahsyat bintang import Sepanyol

Ketenangan yang dipamerkan oleh pemain berusia 28 tahun ini di pertahanan kanan pasukan untuk terus mengekang asakan Negeri Sembilan wajar dipuji untuk akhirnya kelab meraih tiga mata berharga.

Selain itu, aksi yang dipamerkan oleh Feroz juga yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit 89 selepas setahun berehat akan menjadi permulaan terbaik untuknya terus mendapatkan tahap kecergasan terbaik selepas ini.

"Saya sangat gembira untuk dirinya (Syahmi) sebab dia beri segalanya untuk pasukan pada malam ini (Jumaat) dan beraksi dengan sangat cemerlang.

"Dia pemain yang sangat profesional dan positif sepanjang masa dalam latihan sehinggalah peluang diberikan kepadanya dan bukan Syahmi sahaja, Feroz pun dah kembali ke padang selepas setahun.

"Saya sangat gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh dua pemain ini dan akan banyak lagi perlawanan yang sukar menanti kita selepas ini," kata ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz. — Facebook/JDT

Aksi lain yang turut menarik perhatian minggu lalu adalah PDRM FC menentang Terengganu FC (TFC) yang menyaksikan debut Haqimi Azim Rosli membuahkan hasil untuk bantu Sang Penyu meraih kemenangan berharga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu.

"Saya tak sangka hantaran saya akan sampai tepat ke Baqiuddin (Shamsudin) dan kita dapat juga jaringkan gol pada minit-minit akhir.

"Apa pun, saya harap kehadiran saya akan terus dapat bantu kelab ini dan harap penyokong Terengganu akan terus datang sokong kami dalam setiap perlawanan akan datang," jelasnya.

Keputusan perlawanan lain turut menyaksikan Sabah FC berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 1-1 selain Imigresen FC terus mendaki liga selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors, 3-0.

DPMM FC pula gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas kepada Selangor FC, 2-5 manakala Penang FC pula cemerlang menundukkan Melaka FC dengan keputusan 5-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram