Sultan Pahang berkenan meriahkan Golf Amal Mazda ke-11, kumpul dana RM1.4 juta bantu pertubuhan kebajikan


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama badan-badan kebajikan yang menerima sumbangan pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Amal Mazda ke-11 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, baru-baru ini.

BUAT kali ke-11, Kejohanan Golf Amal Mazda meneruskan usaha membela dan menjaga kebajikan golongan kurang bernasib baik apabila berjaya mengumpul RM1.4 juta dana pada acara kali ini.

Kutipan dana hasil kejohanan anjuran Bermaz Motor Sdn. Bhd. itu akan disalurkan kepada Tabung Perubatan Mazda (MMF) dan pelbagai pertubuhan kebajikan bagi mengekalkan serta memperluaskan inisiatif kebajikan di seluruh negara.

Untuk rekod, kutipan kali ini lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya yang meraih dana RM 905,302.

Dengan penyertaan lebih 200 peserta, kejohanan yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada 5 Oktober lalu turut diserikan dengan kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Penaung Diraja MMF.

BACA LAGI: Kelibat Safee Sali dirindui, Piala Mazda 2023 lebih meriah

BACA LAGI: Trofi Mazda 2024 milik Nurfarahin Husin

Menyertai baginda pada acara tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Lebih 200 peserta memeriahkan Kejohanan Golf Amal Mazda ke-11 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada 5 Oktober lalu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh Choon San berkata, kejohanan tersebut menjadi antara inisiatif paling bermakna di bawah MMF dengan matlamat membantu golongan yang amat memerlukan.

“Kami amat berbesar hati dengan keberangkatan Sultan Pahang serta kehadiran para pemimpin negara. Penyertaan mereka adalah bukti bahawa apabila kepemimpinan, perniagaan dan masyarakat berganding bahu, kita mampu membawa perubahan sebenar.

"Kejohanan ini lebih daripada sekadar acara sukan, ia adalah bukti tanggungjawab kami untuk terus menyemai budaya prihatin dan kepedulian di Malaysia. Kami harap semangat ini dapat diteruskan dan menyentuh lebih banyak kehidupan masa hadapan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah.

Ben Yeoh menambah, kejayaan mengutip dana tersebut tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu penaja dan penyumbang.

“Kami amat menghargai para penaja yang menjayakan acara ini. Dana yang disalurkan pastinya memberi manfaat kepada ribuan penerima setiap hari,” katanya.

Sultan Pahang turut mencemar duli menyertai Kejohanan Golf Amal Mazda.

Sempena majlis itu, penganjur turut menyampaikan sejumlah sumbangan kepada tiga badan amal bagi membolehkan mereka melaksanakan pelbagai inisiatif.

Badan kebajikan itu adalah Tabung Kebajikan Penyakit Kanser Mount Miriam, Pulau Pinang; Persatuan Kebajikan Ahsana, Kuala Lumpur dan House of Love, Selangor.

Sejak ditubuhkan pada 2015 secara bersama oleh Prima Merdu Sdn Bhd and B Braun Avitum Renal Services, MMF sudah melaksanakan sejumlah misi bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada komuniti kurang bernasib baik di seluruh negara selain menyalurkan sumbangan kepada golongan anak yatim, rumah warga emas dan pusat kebajikan.

Selain itu, MMF juga mempunyai misi membantu pesakit penyakit buah pinggang kronik melalui rawatan hemodialisis bersubsidi.

Kini, dengan 16 pusat dialisis B. Braun beroperasi di seluruh Malaysia, ribuan pesakit telah menerima manfaat rawatan melalui sumbangan dana MMF.

Al-Sultan Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan cek cura kepada wakil Persatuan Kebajikan Ahsana di Kelab Golf Glenmarie, Shah Alam semalam. Turut berada di pentas, Fadillah (kiri) dan Yeoh (kanan).

Keunikan MMF terletak pada pelaksanaannya yang dijalankan sepenuhnya oleh sukarelawan Bermaz Motor tanpa kos pentadbiran, memastikan setiap sumbangan disalurkan sepenuhnya kepada penerima bantuan.

Selain penganjuran acara tahunan, usaha kebajikan ini turut disokong melalui Kad Keistimewaan Mazda (Mazda Privilege Card – MPC) yang diperkenalkan pada 2018.

Dengan bayaran penyertaan sebanyak RM100 yang disalurkan sepenuhnya kepada MMF dan layak mendapat pengecualian cukai LHDN, pemegang kad bukan sahaja beramal, tetapi juga menikmati potongan harga 15 peratus bagi alat ganti tulen Mazda terpilih serta 5 peratus bagi caj buruh di pusat servis rasmi Mazda seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram