Johor bakal jadi tuan rumah PNAGS 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 02 Okt 2025

Kapten setiap pasukan dari semua 14 negeri berkumpul sebelum kejohanan berlangsung.

PRESIDEN Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC), Isac Saminathan mendedahkan tidak mustahil bahawa Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) diadakan di Malaysia tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dia yang berucap ketika acara penutup PNAGS 2025 berkata, penyertaan lebih 40 negara dalam pertandingan itu dengan kemudahan sudah dikenal pasti bagi edisi akan datang.

"Kami sudah mengenal pasti hotel rasmi dan empat padang golf sekitar Johor untuk mengalu-alukan kehadiran pemain amatur terbaik. 

BACA LAGI: Berpeluang ke WAGC, 70 pemain golf rebut gelaran kebangsaan di final PNAGS

BACA LAGI: PNAGS medan pemain amatur tingkatkan kemahiran, bersaing di peringkat global – Hannah Yeoh

Barisan finalis yang mengambil gambar sempena PNAGS 2025.

"Dengan sokongan kukuh Tourism Malaysia dan rakan rasmi, kami komited menjadikan edisi akan datang sesuatu yang bermakna buat Malaysia dan permainan golf secara keseluruhan," katanya.

Pusingan akhir peringkat kebangsaan PNAGS 2025 dianjurkan di Kelab Golf dan Country Saujana, Subang di Selangor pada Isnin hingga Selasa lalu yang menyaksikan pasukan Johor merangkul kejuaraan.

Dalam pusingan penentuan, juara keseluruhan itu menundukkan Selangor menerusi 'on count back' selepas kedua-dua negeri tersebut mengutip skor 588 pukulan pada dua pusingan.

Pasukan Johor diketuai Mohamed Izzad Ibrahim Jagkeira sebagai kapten melangkah ke perlawanan akhir dengan status pilihan selepas memberi komitmen penuh dalam setiap sesi latihan.

Mata kemenangan untuk membawa pulang Perodua Challenge Trophy disumbangkan Izzad (HCP 1), Ivan Lim Jen Jean (HCP 4), Nor Azhar Mohamad Noor (HCP 7), Mohd Zaid Mohd Nor (HCP 12) dan Mohd Azmie Lahad (HCP 21).

Rizal yang membawa pulang Medal A untuk melayakkan diri ke Pusingan Akhir Dunia WAGC.

"Padang golf di Saujana adalah merupakan antara yang paling mencabar dalam negara, jadi kami mengambil pendekatan fokus, elak melakukan kesalahan dan memberikan yang terbaik.

"Setiap pemain tahu apa perlu dilakukan serta semangat perjuangan amat bermakna sasaran utama adalah untuk merangkul gelaran," kata kapten pasukan Johor itu.

Selain kategori kumpulan, tumpuan utama dalam pusingan akhir kebangsaan menyaksikan 70 peserta merebut lima slot untuk mewakili negara ke Pusingan Akhir Dunia WAGC di Pulau Jeju, Korea Selatan dari 31 Oktober hingga 8 November.

Peserta berpengalaman, Mohd Rizal Mohmad Sahibek muncul juara dengan skor 143 sepanjang dua hari bersaing bagi mengungguli kategori Medal A sementara Abdullah Dania dalam kategori Medal B mengumpul 146 mata.

Dua pemain itu akan diiringi Amir Beek Kamaruddin yang menjuarai Medal C, Ahmad Fadzli Mohd Nor yang mengungguli Medal D sementara Mohd Faizal Zainal muncul sebagai pemenang Medal E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram