
PASUKAN Harimau Malaya akan turun dengan misi penting untuk layak ke pusingan separuh akhir Piala Asean 2024 menentang Singapura pada Jumaat (20 Disember) ini.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan aksi ini cukup penting buat Harimau Malaya dan The Lions bagi menentukan siapakah yang bakal layak ke separuh akhir.
Prestasi semasa dalam Kumpulan A menyaksikan Malaysia mengutip satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
BACA LAGI: Hanya cuba-cuba nasib, bapa 7 anak gembira menang hadiah ke-3 ulang tahun Majoriti
BACA LAGI: [VIDEO] Fans Gergasi Merah dabik dada prestasi ‘Kyle Walker Selangor’ bawah Katsuhito Kinoshi
Manakala, Singapura pula merekodkan dua kemenangan dan satu kekalahan termasuk tewas 2-4 di tangan Thailand dalam aksi keempat Kumpulan A pada Selasa (17 Disember).
Yakin dengan kemampuan anak-anak buah Pau Marti Vicente, bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menjangkakan pemain-pemain berpengalaman bakal diberikan keutamaan untuk berdepan Singapura.
"Dalam perlawanan penting sebegini, pemain-pemain yang berpengalaman wajar diberikan keutamaan untuk beraksi menentang Singapura.
"Jurulatih juga perlu mengutamakan pemain-pemain kebangsaan yang mempunyai banyak minit permainan dalam Liga Super kerana ini merupakan aksi hidup mati skuad kebangsaan.
"Tiada jalan lain lagi, skuad kebangsaan perlu merekodkan kemenangan, 1-0 pun jadilah janji kita (Harimau Malaya) berjaya layak ke pusingan kalah mati," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, skuad kebangsaan mempunyai dua kelebihan daripada segi masa dan beraksi di halaman sendiri untuk layak ke pusingan separuh akhir Piala Asean 2024.
"Saya melihat rehat panjang berbanding pasukan lawan (Singapura) menjadi satu kelebihan buat Harimau Malaya untuk beraksi cemerlang dalam perlawanan itu nanti.
"Selain itu, beraksi di gelanggang keramat (SNBJ) juga menjadi tonik tambahan buat Harimau Malaya dengan sokongan padu daripada penyokong dan rakyat Malaysia sendiri.
"Perlawanan ini saya menjangka Malaysia akan menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-0 yang mana saya juga mahu melihat Paulo Josue serta Darren Lok mengetuai barisan serangan pasukan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram