[VIDEO] Tonggak utama Peterborough United dakwa ada pertalian darah dari Pulau Pinang


  • Podium
  • Selasa, 10 Dis 2024

Fernandez merupakan tonggak utama buat Peterbrough United musim ini.

KURANG seminggu tarikh pendedahan penstrukturan semula barisan skuad kebangsaan seperti didedahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam media sosial baru-baru ini.

Penstrukturan semula skuad kebangsaan itu melibatkan barisan jurulatih, pemain-pemain baharu warisan dan naturalisasi serta kemasukkan individu-individu pakar dalam bidang bola sepak untuk memastikan Harimau Malaya berada di tahap terbaik.

Pemain-pemain warisan yang dikaitkan dengan Harimau Malaya antaranya ialah kapten kelab Inggeris, Burnley FC, Josh Brownhill, Bergson dan Silva (naturalisasi), Sam Sherring (MK Dons), Iggy Houben (PSV) dan beberapa pemain lain.

BACA LAGI: Ada pengalaman bersama FC Barcelona, kelab Liga Super wajar sambar khidmat Pau Marti

BACA LAGI: Pernah hadapi masalah DNA Jerman, pertemuan TMJ-RMS ubah prestasi Selangor FC

Belum lagi dapat dipastikan berapa ramai kemasukkan pemain warisan baharu dalam skuad kebangsaan, kini seorang pemain yang beraksi di England mendakwa mempunyai pertalian darah dengan negara ini menerusi neneknya.

Tonggak utama Peterborough United, Emmanuel Fernandez mendakwa mempunyai pertalian darah dengan neneknya yang berasal dari Pulau Pinang.

Perkara itu disahkan oleh @Onefootball.my di media sosial yang mana Fernandez berminat untuk mewakili skuad kebangsaan namun masih belum dihubungi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Mendapat perkhabaran dari tuan badan (Fernandez) sendiri bahawa beliau berminat untuk bermain dengan Malaysia dan neneknya berasal dari Pulau Pinang."

Jika benar pemain berusia 23 tahun itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, ia memberikan kelebihan buat Harimau Malaya untuk memperkuatkan barisan pertahanan kerana Fernandez beraksi sebagai bek tengah.

Musim ini, Fernandez merupakan tonggak utama Peterborough United dengan 16 penampilan dalam kejohanan liga divisyen ketiga England dan sudahpun menjaringkan empat gol.

Selain itu, Fernandez secara sepenuhnya terlibat dalam kesemua kejohanan domestik England bersama Peterborough United seperti Piala EFL, Piala FA dan Trofi EFL.

Ini memberikan gambaran bahawa Fernandez mempunyai kualiti tersendiri sehingga diberikan kepercayaan oleh Darren Ferguson untuk diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Kehadiran Fernandez ke dalam skuad kebangsaan mampu memberikan ruang untuk jurulatih baharu memilih lebih ramai bintang berkualiti untuk berdepan pasukan lebih kuat lagi-lagi negara-negara arab yang mempunyai kekuatan fizikal berbanding pemain tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram