Dijangka turunkan skuad muda, Nafuzi harap kemelut Sang Kenari segera ternoktah


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

Nafuzi mengakui mengenai masalah kewangan dihadapi pasukannya dan berharap agar perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

KEMELUT kewangan dihadapi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semakin parah selepas skuad Sang Kenari dijangka terpaksa meneruskan saingan Liga Super 2024-2025 dengan menggunakan pemain bawah 23 tahun dalam aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu ini.

Perkembangan tersebut berlaku selepas pemain pasukan senior dilaporkan tidak menyertai sesi latihan yang diadakan menjelang perlawanan tersebut.

Tindakan itu dibuat kerana mereka dipercayai masih tidak menerima gaji.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Susulan daripada perkembangan tersebut, Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain pada Rabu berkata, beliau masih tidak dapat mengesahkan mengenai kemungkinan kehadiran pemain utama pasukan dalam sesi latihan yang diadakan pada Khamis.

Bagaimanapun, menerusi laporan media tempatan, beliau berkata, berdasarkan persiapan dilakukan sejak Selasa, berkemungkinan besar skuad bawah 23 tahun bakal membawa cabaran beraksi menentang KL City FC.

“Kita tidak tahu lagi sehari dua lagi apa akan berlaku, tapi saya boleh katakan untuk hari ini (Rabu) skuad bawah 23 tahun yang akan bersedia bagi membuat persiapan yang begitu singkat kerana mereka juga baharu sahaja memulakan latihan.

“Bagi saya, kita perlu menerima apa sahaja keputusan yang berlaku kerana tidak boleh mengharapkan apa-apa kerana pembentukan pasukan juga baru dua tiga hari berlatih dan kebanyakan mereka ini adalah pemain yang baru beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA),” ujarnya.

459162889_554714820243033_1083978166229129989_n

Nafuzi (kanan) ketika mengendalikan sesi latihan skuad KDA FC pada Rabu. — KDA FC

Sementara itu, beliau turut mengakui mengenai masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukannya dan berharap agar perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

"Saya rasa semua orang dah maklum dengan situasi sekarang. Cuma saya berharap dapat diselesaikan dengan segera kerana kesannya terlalu besar kepada pasukan dan semuanya.

“Diharapkan dapat selesai secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan pemain senior Sang Kenari memboikot sesi latihan kerana dipercayai berpunca daripada masalah gaji.

Sebelum ini, pemain pertahanan Sang Kenari, Irfan Zakaria memberikan isyarat mengenai permasalahan gaji Kedah yang belum lagi selesai.

Irfan berkongsikan sebuah imej karikatur sedang mencari gaji yang tidak kunjung tiba. Bukan Irfan saja, malah pemain-pemain Kedah lain masih terjejas dengan isu kewangan melibatkan kelab.

Selain itu, skuad Hijau Kuning juga terpaksa berputih mata apabila kehilangan beberapa pemain seperti Habib Haroon dan Fikri Che Soh pada jendela perpindahan kedua ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram