'Ubi muda' Selangor FC sah sertai FC Osaka secara pinjaman


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Abu (kanan) memiliki lima kaps bersama skuad Harimau Muda. — Facebook/FAM

KHABAR angin mengenai bintang muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil yang sebelum ini dilaporkan bakal menyertai salah satu kelab divisyen tiga liga bola sepak Jepun akhirnya terjawab.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor FC pada Jumaat, pihak pengurusan kelab tersebut bersetuju untuk memberi pinjaman (loan) pemain muda Gergasi Merah itu kepada FC Osaka bermula Julai ini.

"Pihak pengurusan secara rasmi bersetuju untuk memberi pinjaman (loan) pemain muda Selangor FC, Muhammad bin Abu Khalil kepada FC Osaka, kelab Jepun yang beraksi di Liga J3. Bermula pada bulan Julai ini setelah menerima tawaran seusai sahaja tamat menjalani sesi percubaan pada 24 Jun sehingga 2 Julai yang lalu," katanya.

BACA LAGI: Berjaya curi tumpuan, ‘ubi’ Selangor bakal sertai kelab Jepun

BACA LAGI: 'Aneh dan kebetulan', calon penaja utama Kedah hairan 'diserbu' Kastam, LHDN berturut-turut

WhatsApp Image 2024-07-05 at 15.18.39

Pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil secara sah menyertai sebuah kelab di Jepun, FC Osaka. Facebook/Selangorfc

FC Osaka yang kini berada di tempat ketiga saingan Liga J3 itu menaruh harapan kepada kemampuan Abu terutamanya dalam bahagian serangan selepas tampil cemerlang menjaringkan beberapa gol semasa sesi percubaan tempoh hari.

Menurut FC Osaka, gerakan serangan yang ditampilkan Abu adalah yang terbaik dalam pasukan sepanjang bersama mereka.

Selaras dengan misi mereka untuk menaikkan nama ‘Osaka’, mereka dengan berbesar hati menawarkan Muhammad Abu kedudukan dalam skuad FC Osaka secara pinjaman.

Gembira dengan tawaran tersebut, kapten skuad muda Selangor itu bersyukur apabila dipilih menjadi salah seorang pemain FC Osaka.

“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.

"Saya lihat ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari.

"Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3.

"Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar. Insya-ALLAH," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram