MELIHAT statistik perlawanan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) jelas merupakan pasukan pilihan untuk mendapatkan kemenangan dalam aksi bertemu Sri Pahang FC, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Dalam tiga perlawanan yang sudah diharungi Harimau Selatan, JDT masih tidak merekodkan sebarang kekalahan mahupun keputusan seri dan paling teruk pun hanya dibolosi dua gol.
Manakala, Sri Pahang pula perlu menerima hakikat bahawa mereka masih belum meraih sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super dan paling dibanggakan hanyalah kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 1 Mei lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Teknik staf SNBJ buang air 'ditiru' di stadium Euro 2024
BACA LAGI: Ultras Penang beri teguran ingat asal usul sokong kelab sendiri
Bukan itu sahaja, masalah dalaman Tok Gajah yang dikatakan mengalami tunggakan gaji turut dikhuatiri akan menjadi punca para pemain kurang bermotivasi untuk memberi cabaran kepada JDT pada Sabtu.
Perbezaan dari segi statistik dan isu dalaman itu seperti memberi jawapan kepada nasib Pahang pada Sabtu namun ia bukan bermaksud skuad Tok Gajah perlu terlalu awal mengangkat bendera putih apabila berkunjung ke SSI.
Hal ini kerana, Sri Pahang mempunyai sejarah pernah menjadi badi buat Harimau Selatan apabila skuad Tok Gajah menjadi pasukannya yang mengikat JDT pada dua perlawanan Liga Super 2022.
Oleh itu, kejayaan mereka mengikat Harimau Selatan sebanyak dua kali pada 2022 seharusnya boleh menjadi rujukan agar pasukan kendalian Fandi Ahmad sekurang-kurangnya berhasil memungut satu mata di Iskandar Puteri.
1) Sejarah Hector Bidoglio
Hector pernah merekodkan seri 2-2 menentang Sri Pahang pada 2022. — Facebook/JDT
Umum mengetahui pengendali kelahiran Argentina, Hector Bidiglio pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengendali JDT pada musim 2022 sebelum dia dilantik menjadi Pengarah Teknikal pada 2023.
Semasa mengendalikan Harimau Selatan pada Julai hingga penghujung musim 2022, Hector pernah mencatatkan keputusan seri sebanyak tiga kali dan salah satunya ketika bertemu pasukan Tok Gajah pada 7 Oktober 2022.
Ketika itu, Hector yang memasuki bulan keempat mengendali JDT sekadar berkongsi satu mata selepas terikat 0-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Skuad kendalian Hector seakan-akan mati kutu berjumpa Sri Pahang apabila hanya merekodkan beberapa percubaan berbahaya sahaja ke arah gawang yang dijaga penjaga gol Tok Gajah ketika itu, Mamadou Samassa.
Dengan rekod kurang meyakinkan itu, tidak mustahil jika Hector sekali lagi menemui jalan buntu untuk memecahkan benteng pertahanan Sri Pahang yang dikawal rapi oleh barisan pertahanan import dan tempatan.
2) Strategi bertahan
Fadhli akan mengetuai bahagian serangan Sri Pahang. — Facebook/SriPahang
Salah satu formula untuk mengikat Harimau Selatan ialah menggunakan taktikal bertahan menentang pasukan yang melakukan banyak serangan balas pantas seperti juara 10 kali Liga Super itu.
Oleh itu, Sri Pahang boleh sahaja menerapkan pendekatan bertahan secara berdisiplin bagi memastikan skuad Tok Gajah meraih keputusan positif dalam perlawanan berkenaan.
Seperti pada musim 2022 di Darul Makmur, pasukan Pahang yang ketika itu dikendalikan oleh Datuk Dollah Salleh menyaksikan Pahang menampilkan corak permainan berhati-hati.
Melihat kepada barisan pemain pertahanan Sri Pahang ketika ini, Fandi boleh menurunkan Fadhli Shas, Adam Nor Azlin, Stefano Brundo, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq untuk menyekat serangan JDT.
3) Ancaman Saiful Jamaluddin
Dua tahun lepas menyaksikan Manuel Hidalgo dan Saiful Jamaluddin menjaringkan gol untuk mengikat Sri Pahang dengan keputusan 2-2 dalam aksi Liga Super pada Oktober 2022.
Perlawanan bertemu JDT kali ini, Tok Gajah dijangka tidak dapat menurunkan Hidalgo dek statusnya sebagai pemain pinjaman dari JDT namun Saiful boleh menjadi duri dalam daging Harimau Selatan.
Pada perlawanan Liga Super 2022, pemain berusia 22 tahun berkenaan mencipta sejarah apabila menjaringkan gol pertamanya untuk Sri Pahang FC ketika bertemu Harimau Selatan.
Pemain tengah bertahan muda itu dilihat sebagai bintang baharu yang dalam pembikinan untuk apabila mempamerkan prestasi mantap ketika menentang KDN FC tempoh hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram