Ibarat berdepan Belanda, ex keeper Liga Super terkejut tak kenal ramai pemain Garuda


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Mendoza menyelamatkan bola ketika perlawanan Kumpulan F pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026. — Instagram/Mendoza

PASUKAN kebangsaan Indonesia melakar sejarah baharu dalam bola sepak mereka apabila mara kali pertama ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Filipina 2-0 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada 11 Jun lalu.

Skuad Sang Garuda menyertai Iraq dari Kumpulan F dengan Thom Haye dan Rizky Ridho muncul wira pasukan di Jakarta untuk menduduki tangga kedua sebagai syarat lolos ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Manakala, skuad Azkals pula menamatkan saingan kumpulan F di tangga terakhir dengan mengumpul satu mata hasil satu keputusan seri dan lima kekalahan sepanjang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.

BACA LAGI: Malaysia ketinggalan, Indonesia selangkah rekrut penjaga gol Inter Milan bagi projek naturalisasi

BACA LAGI: Bapa sekali lagi bagi ‘hint’, Wan Kuzain makin hampir sarung jersi Harimau Malaya

Antara pemain Filipina yang diturunkan dalam aksi tersebut ialah bekas penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC dan kini tonggak kelab Persib Bandung iaitu Kevin Ray Mendoza.

Walaupun Mendoza kecewa gagal membantu Filipina memperoleh mata ketika menentang Indonesia namun penjaga gol berusia 29 tahun berkenaan mengakui kagum dengan suasana di Gelora Bung Karno.

"Saya rasa seperti di rumah sendiri. Suasana Bung Karno seperti di Bandung (Stadium Si Jalak Harupat). Suasananya luar biasa. Saya suka penyokong di Indonesia, mereka sangat bagus. Saya sangat sukakan Indonesia.

"Pada musim pertama, saya menjadi juara (Liga 1 Indonesia). Saya sangat bersyukur. Saya sangat gembira untuk tahun pertama saya di sini. Saya harap ini akan bertahan selama bertahun-tahun," katanya memetik laporan media Indonesia, Kumparan.

Namun, Mendoza nyata terkejut dengan para pemain yang dipilih pengendali skuad Sang Garuda, Shin Tae-yong apabila tidak memanggil tonggak berkualiti dari saingan Liga 1 Indonesia.

Malah, pemain dari pasukannya juga tidak berada dalam senarai skuad Indonesia untuk dua perlawanan menentang Filipina dan Iraq meskipun mereka sudah dinobatkan sebagai juara Liga 1 Indonesia musim 2023/2024.

"Mereka (pemain Indonesia) ada pemain yang bagus tapi saya tidak kenal dengan pemain yang berada di atas padang. Banyak wajah baharu yang saya tidak pernah lihat dan banyak pemain dari Belanda," jelasnya.

timnas-indonesia_169

Antara pemain skuad kebangsaan Indonesia.

Pemain dari Belanda yang dimaksudkan Mendoza adalah tonggak warisan Indonesia kerana jurulatih Korea itu menurunkan pemain seperti Sandy Walsh, Jay Idzes, Justin Hubner, Nathan Tjoe-A-On, Thom Haye, Ragnar Oratmangoen dan Rafael Struick.

Setakat era kejurulatihan Tae Yong, terdapat 11 pemain yang telah dinaturalisasikan iaitu Marc Klok, Jordi Amat, Walsh, Shayne Pattynama, Ivar Jenner, Struick, Hubner, Idzes, Haye, Nathan, dan Oratmangoen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram