[VIDEO] Gaji pemain Sabah cecah RM1.7 juta sebulan antara tanggungan The Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Sebahagian sesi latihan Sang Badak menjelang saingan Piala FA 2024 berdepan KL Rovers pada 15 Jun nanti. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC memperuntukkan kira-kira RM1.7 juta sebulan untuk membiayai gaji keseluruhan pasukan utama dan skuad Bawah 23 (B-23) tahun pada tahun ini dengan ia merupakan antara tanggungan besar skuad The Rhinos.

Kebenaran itu dikongsikan sendiri oleh Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid yang tidak lagi ingin berselindung kepada peminat apabila isu gaji pemain Sang Badak sering menjadi persoalan para penyokong.

Menerusi satu sesi podcast daripada Kinabalu Podcast, Mohd Joh berkongsi bahawa gaji keseluruhan untuk para pemain skuad utama dan barisan pasukan B-23 Sabah itu melebihi beberapa kelab lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Kita mewarisi hutang-hutang lama, kena bayar sikit-sikit — Pengurus Sabah FC

BACA LAGI: Misteri '4 jari' terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac — Sumber

"Saya perlu menjelaskan soal tanggungan gaji sahaja untuk sebulan untuk pasukan senior dan bawah 23 tahun di bawah kelolaan Sabah FC, kita mempunyai tanggungan gaji sebanyak RM1.7 juta.

"Perkara ini, saya perlu berterus terang supaya peminat tahu. Kenapa sangat tinggi sedangkan ada pasukan lain yang dah bawa piala pulang tapi tak sampai ke situ (gaji)," katanya menerusi video dimuat naik Kinabalu Podcast pada Selasa.

Selain menyentuh soal jumlah gaji keseluruhan pemain Sabah itu, Mohd Joh juga memberitahu situasi terkini mengenai isu tunggakan gaji yang kini antara topik hangat meniti di bibir para penyokong The Rhinos.

Mohd Jod berkata, dakwaan pihak pengurusan tidak membayar gaji selama empat bulan adalah sengaja dibesar-besarkan kerana ketika ini mereka hanya menghadapi tunggakan selama dua bulan sahaja.

"Sebenarnya bukan empat, hanya dua bulan tertunggak. Dalam kontrak dengan pemain ada dinyatakan bahawa gaji bulanan dikira lewat jika melepasi 7 hari bulan berikutnya. Jika bulan Mei kita gagal bayar pada 8 Jun jadi dikira Mei belum dilunaskan.

"Sekarang, kami dah bayar Januari dan Februari. Kini, hanya April dan Mei sahaja belum. Tak pernah lewat tiga bulan, sekarang tinggal dua bulan. Kami akan berusaha untuk tanganinya," jelasnya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan bahawa Sabah sedang mengalami masalah tunggakan gaji sejak Mac lalu dan didakwa telah menggunakan duit penajaan RM6 juta untuk perbelanjaan pasukan pada awal tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram