Bojan Hodak sempat jadi pilihan isi 'kerusi panas' JDT lepas jurulatih Sepanyol direhatkan


  • Podium
  • Ahad, 07 Apr 2024

Bojan Hodak kini meneruskan karier kejurulatihannya bersama Persib Bandung di Indonesia. — Agensi

PENGENDALI dari Croatia, Bojan Hodak mempunyai reputasi cukup baik sepanjang bertahun-tahun membuktikan nilainya dalam saingan Liga Super.

Dia yang memulakan kariernya dalam arena bola sepak negara bersama UPB-My Team dari 2006 sehingga 2009 pada awalnya tidak mencuri perhatian.

Bagaimanapun, ketika bersama Kelantan FA, reputasinya melonjak setelah membawa kelab Pantai Timur berkenaan meraih gelaran treble domestik pada 2012, iaitu pada musim pertamanya dengan mereka.

Meskipun skuad The Red Warriors (TRW) ketika itu sememangnya berada di kemuncak, kemasukan Bojan melengkapkan pasukan berkenaan baik di dalam mahupun di luar padang.

Sentuhan bergayanya itu kemudiannya mendesak pencabar baharu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menyambar khidmatnya pada 2013.

BACA LAGI: Cuma kebetulan semata-mata, Bojan Hodak nafi JDT lebih gah tanpa bintang Piala Dunia

WhatsApp Image 2024-04-07 at 12.58.06

Ketegasan Bojan menyaksikan skuad TRW meraih gelaran treble pada 2012.

Keputusan itu mencetuskan kejutan kerana kelab Selatan tanah air berkenaan sudah melantik pengendali dari Sepanyol, Cesar Ferrando untuk menggantikan Fandi Ahmad.

Jadi, Bojan diberikan peranan sebagai pembantu jurulatih dengan orang ramai cukup pelik dengan perkara itu kerana reputasinya sudah cukup megah.

Tetapi, ia tidak melunturkan semangatnya apabila dia terus menyumbang khidmatnya untuk membawa skuad Harimau Selatan sebagai pasukan terbaik dalam negara.

Penantian jurulatih yang kini berusia 52 tahun itu akhirnya membuahkan hasil setelah Ferrando digugurkan daripada jawatannya berikutan prestasi tidak menentu mereka.

Pada April 2014, Bojan diumumkan sebagai ketua jurulatih JDT meskipun terdapat khabar angin bahawa pihak pengurusan lebih berminat untuk melantik Rajko Magic.

BACA LAGI: Bojan Hodak naik angin dengan lagak primadona bekas bintang import JDT

Jimirez-Bojan

Bojan (kanan) menggantikan Ferrando yang digugurkan jawatannya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Keputusan itu sememangnya tepat apabila skuad Harimau Selatan merekodkan prestasi cemerlang sehingga berada di tangga teratas Liga Super.

Rekod cemerlang berkenaan diteruskan sehingga penghujung musim sehingga menyaksikan JDT muncul juara buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Bagaimanapun, jodoh Bojan tidak berpanjangan bersama kelab itu apabila dia digugurkan pada April 2015 dan digantikan pengendali dari Argentina, Mario Gomez.

Kini, jurulatih berkenaan terus bergiat aktif dengan pasukan dari Indonesia, Persib Bandung menjadi pilihan untuk meneruskan kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram