[VIDEO] Penyokong 'naturalisasi' hadir sokong Harimau Malaya ikat Korea Selatan


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Tangkap layar warga Bangladesh menyokong Harimau Malaya dalam aksi menentang Korea Selatan pada Khamis.

SOKONGAN padu pemain ke-12 menjadi faktor terbesar skuad bola sepak Malaysia berhasil memberi persembahan cemerlang dalam perlawanan getir menentang Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar pada Khamis.

Ratusan penyokong termasuk Ultras Harimau Malaya yang hadir ke bumi Qatar jelas memberi tonik tambahan kepada skuad kendalian Kim Pan-gon untuk membawa pulang satu mata ke tanah air sebagai oleh-oleh daripada kejohanan tertinggi negara itu.

Selain sokongan dari rakyat Malaysia, Harimau Malaya juga rupanya mempunyai peminat dari negara lain apabila warga Bangladesh juga dilihat hadir ke Stadium Al Janoub untuk bersama-sama menyokong Malaysia.

Seperti video yang dikongsikan oleh pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli menunjukkan beberapa pemuda Bangladesh membawa Jalur Gemilang pada perlawanan Malaysia menentang skuad Taeguk Warriors.

"Selalu post Ultras Malaya. Kali ini post abang-abang Bangladesh yang semangat sokong Malaysia. Brothers!," kata Intan Sarah pada laman X peribadinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Intan Serah salah maki KPG, nak Pawi tapi Romel Morales menjadi

HM

Malaysia menutup kempen Piala Asia dengan membawa satu mata. — Facebook/FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Terciduk di tangan Harimau Malaya, bintang Spurs dalam poket double D

Video sokongan warga Bangladesh itu membuatkan ramai pemain ke-12 skuad kebangsaan berasa terharu dengan tindakan mereka yang seolah-olah menghargai layanan Malaysia terhadap mereka selama ini.

Umum mengetahui, ramai warga Bangladesh yang mencari rezeki di Malaysia. Berdasarkan data rasmi terkini Kementerian Sumber Manusia pada April 2022, terdapat seramai 326,669 rakyat Bangladesh yang bermastautin di Malaysia.

Dalam pada itu, perbezaan lebih 100 anak tangga tidak menghalang Malaysia memperoleh keputusan seri 3-3 menentang Korea Selatan dengan pelbagai aksi dramatik dihidangkan kepada penyokong.

Tiga jaringan dari Harimau Malaya dicetak Faisal Halim pada minit ke-51, sepakan sempurna Arif Aiman Hanapi pada minit ke-62 dan pemain gantian, Romel Morales menyamakan kedudukan pada babak kecederaan.

Manakala, jaringan Korea Selatan pula pula disumbangkan oleh Jeong Woo-yeong pada minit ke-21, sepakan percuma dari Lee Kang-in dan gol terakhir disempurnakan oleh bintang Tottenham Spurs, Son Heung-min. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram