Skuad TBG pilih ke Indonesia adakan 2 aksi 'friendly' peringkat antarabangsa


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Masih berbaki tiga perlawanan Liga Super perlu dihadapi skuad TBG sebelum tirai musim 2023 dilabuhkan. — Facebook/Perak FC

KEMPEN Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung pada pertengahan November ini menyaksikan aksi di peringkat domestik ditangguhkan.

Situasi tersebut memaksa kelab-kelab Liga Super untuk mencari cara terbaik bagi memastikan pemain yang tidak dipanggil mewakili negara masing-masing berada dalam tahap kecergasan optimum.

Meskipun mereka masih boleh mengadakan latihan seperti sedia kala, inisiatif berbeza masih perlu difikirkan untuk memberi peluang terhadap pemain merasai suasana dalam perlawanan kompetitif.

Jadi, sebilangan daripada pasukan tanah air memilih untuk mengadakan aksi persahabatan dengan harapan skuad utama akan dapat berada dalam prestasi terbaik.

Antara yang berbuat demikian ialah Perak FC yang kini berada dalam prestasi cemerlang walaupun baru sahaja tersingkir daripada saingan Piala Malaysia di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

401529981_352874777292904_5129788919189167274_n

Poster rasmi berkaitan pengumuman skuad TBG untuk aksi persahabatan peringkat antarabangsa. Facebook/Perak FC

Mereka yang kini menduduki tangga kesembilan Liga Super dilihat hanya memiliki peluang tipis untuk mendaki carta dengan tiga perlawanan berbaki.

Namun, ia tidak menjadi alasan buat skuad kendalian Yusri Che Lah untuk mensia-siakan prestasi semasa mereka memasuki penghujung musim 2023.

Dalam satu hantaran di laman media sosial rasmi kelab, Perak FC mengumumkan mereka sudah merancang dua aksi persahabatan dengan kedua-duanya bakal diadakan di Stadium Segiri, Samarinda, Indonesia.

Aksi pertama bakal menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) berdepan Serpong City FC pada 16 November sementara perlawanan kedua akan menemukan mereka dengan Borneo FC.

401531080_352587910654924_8627500505728157280_n

Sesi latihan masih diteruskan skuad TBG sementara jadual Liga Super ditangguhkan. Facebook/Perak FC

Pertembungan tersebut pastinya cukup menarik, lebih-lebih lagi untuk aksi berdepan Borneo FC dengan kelab berkenaan kini menduduki tangga teratas Liga 1 Indonesia selepas 19 perlawanan.

Ia pastinya satu langkah cukup bijak daripada pihak pengurusan Perak FC yang dalam usaha memastikan kecergasan pemain kekal di tahap optimum.

Selain itu, keputusan untuk mengadakan aksi persahabatan peringkat antarabangsa juga akan menaikkan reputasi pasukan secara pendedahan secara langsung.

Skuad TBG bakal berdepan Selangor FC di Stadium MBPJ, Selangor pada 25 November untuk aksi ke-24 Liga Super sebelum berdepan Sabah FC di laman sendiri pada 3 Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram