
TINDAKAN pantas seorang bidan, Monique membantu wanita hamil melahirkan anak di sebuah kawasan bukit curam mendapat pujian ramai.
Kejadian luar biasa itu dipercayai berlaku di Kampung Batu Ampar, Daerah Guluk-Guluk, Jawa Timur, Indonesia baru-baru ini.
Berdasarkan video berdurasi 41 saat yang dikongsikan di laman Twitter pada Selasa, penduduk kampung dilihat berusaha untuk membawa ibu mengandung yang sarat itu ke pusat kesihatan.
Bagaimanapun, dalam perjalanan, wanita itu tiba-tiba sakit hingga menyebabkan dia terpaksa bersalin di kawasan itu.
Bidan Monique kemudian tampil membantu wanita berkenaan hingga anaknya dilahirkan dalam keadaan yang sihat dan selamat.
Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Kesihatan daerah Sumenep, Agustiono Sulasno berkata, pihaknya amat bangga dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh bidan Monique.
"Sumenep mempunyai ratusan pulau dan memiliki kawasan bukit yang curam. Saya sangat bangga dan menghargai dedikasi yang ditunjukkan," katanya pada Sabtu.
Agustiono memberitahu, Ketua Daerah Sumenep akan menjemput Monique ke dalam majlis istiadat di istana sempena menyambut Hari Kesihatan Nasional pada tahun ini.
Bidan tersebut juga difahamkan akan menerima anugerah sebagai menghargai jasanya.
"Kita akan beri anugerah kepada bidan Monique. Dia akan dijemput dalam program bagi menyambut Hari Kesihatan Nasional.
"Ia juga sebagai satu bentuk penghargaan dan juga galakan kepada petugas kesihatan yang lain," ujarnya.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram