Misi wajib menang Piala AFC: OKS hanya tuntut 2 mentaliti The Rhinos termasuk elak bolos awal


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Barisan pemain Sabah ketika sesi latihan sebelum menentang Hai Phong pada Khamis. — Facebook/SabahFC

KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya kekal fokus dan mengelak mengulangi insiden bolos awal dalam misi wajib menang menentang Hai Phong FC dalam aksi keempat Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Beliau berkata, mentaliti seperti itu perlu dikekalkan sehingga wisel penamat bagi memastikan Sabah mampu mengekalkan rentak permainan dan segala perancangan serta strategi diatur dalam perlawanan mampu dilaksanakan dengan sempurna oleh pemain Skuad Badak itu.

"Kita tidak mahu dibolosi awal seperti perlawanan sebelum ini dan kita jadikan pengajaran...pastikan kekal fokus sehingga wisel penamat. Kita mahu menang esok dan layak secara automatik ke pusingan seterusnya,” katanya pada sidang media praperlawanan di Kota Kinabalu pada Rabu.

Pada aksi ketiga di Stadium Lach Tray, Hanoi, Vietnam pada 25 Oktober lalu, Hai Phong menewaskan Sabah 3-2 dengan pasukan tuan rumah menjaringkan dua gol awal pada minit ke-14 dan ke-18.

Sabah FC memerlukan tiga mata penuh untuk kembali ke tangga teratas Kumpulan H sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya.

sabah fc dalam

Kim Swee dan wakil pemain Sabah, Dominic Tan ketika sesi sidang media praperlawanan pada Rabu. — Facebook/SabahFC

Ditanya tentang kesebelasan pada Khamis, Kim Swee berkata, beliau masih menilai pemain dengan mengambil kira faktor kembali pulih daripada kecederaan dan juga keletihan dalam kalangan pemain kebangsaan yang baru kembali ke dalam pasukan.

Mengulas mengenai pasukan Hai Phong, beliau berkata, cabaran daripada pasukan itu tidak boleh dipandang mudah terutama dengan kehadiran beberapa pemain import serta semangat bangkit daripada kekalahan menentang Hougang United dari Singapura dan berjaya menewaskan Sabah sebelum ini.

Sementara itu, pengendali Hai Phong, Chu Dinh Nghiem berkata, pasukannya telah mengenal pasti beberapa pemain Sabah yang boleh menjadi ancaman, antaranya penyerang kebangsaan Darren Lok, pemain import dari Korea Selatan, Korea Park Tae-su dan pemain import serba boleh dari Sepanyol, Miguel Cifuentes.

"Tidak mudah bermain di tempat lawan selain beberapa pemain cedera termasuk penjaga gol dan pemain sayap. Bagaimanapun, kami berharap untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram