Taikun negara labur kelab luar tapi ada sebab tak minat Liga M — Stanley Bernard


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Fernandes sebelum ini pernah memiliki kelab Inggeris, QPR. — Agensi

KUALA Lumpur (KL) City FC yang dilaporkan kini mengalami masalah tunggakan gaji selama dua bulan mengesahkan dalam perancangan mencari pelabur berpotensi untuk membantu meneruskan kelangsungan kelab pada hari mendatang.

Dalam sidang media di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mendedahkan bahawa penaja utama iaitu Rinani Group Berhad (Rinani) disahkan sudah menarik diri daripada menjadi pelabur utama.

Tidak mendedahkan entiti manakah yang akan menjadi pelabur seterusnya untuk skuad Warga Kota itu namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard kecewa tiada taikun berminat membuat pelaburan di kelab Liga Malaysia.

"Kami ada cakap dengan beberapa pelabur yang berpotensi tapi ia bukan dari taikun negara. Kita tidak mendengar daripada Berjaya (Berjaya Corporation) dan Airasia. Mereka sanggup beli kelab luar tapi ada sebab tak datang ke dalam kelab Liga M.

"Kami tak nampak satu taikun pun seperti Syed Mokhtar (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary), tiada yang mahu tolong menghulurkan bantuan walaupun kami dah menang Piala Malaysia dan nombor dua di Asia.

"Mesti ada sebab semua taikun ini tidak mahu melabur dalam kelab Liga M. Kami ada reach mereka dan hantar surat cakap dengan CEO. Mereka tidak nak datang sini. Ia bukan senang. Kami hanya pasukan berjaya di atas kertas. Sebab itu kami sanggup buat pinjaman sendiri," katanya ketika ditemui pada Khamis.

WhatsApp Image 2023-11-02 at 13.49.50

Stanley ketika sidang media pada Khamis.

Sebelum ini, rakyat Malaysia turut memiliki kelab-kelab bola sepak luar negara seperti Tan Sri Vincent Tan yang memiliki Cardiff City dan Tan Sri Dr Tony Fernandes pernah menguasai Queens Park Rangers (QPR).

Malah, baru-baru ini sebuah agensi kerajaan negara kita iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah mendapatkan hak penjenamaan (naming rights) terhadap stadium QPR.

Stadium QPR yang dikenali sebagai Loftus Road itu kini dijenamakan menjadi Matrade Loftus Road atas faktor penajaan agensi kerajaan kendalian Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tersebut kepada kelab divisyen dua England itu.

Rentetan masalah gaji tunggakan dalam bulan Ogos dan September yang sedang menimpa skuad Warga Kota, Stanley juga tidak melepaskan peluang untuk membuat permohonan maaf kepada para pemain dan barisan jurulatih.

"Kami nak minta maaf dengan pemain dan jurulatih sebab isu ini. Walaupun kami ada masalah gaji tapi kami sentiasa cuba terbaik untuk beri terbaik. Tapi saya faham kekecewaan pemain dan jurulatih kekecewaan, saya pun pernah jadi pemain. Saya dan tuan presiden (Khalid Samad) sentiasa tampil minta maaf," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram