DEBARAN menantikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka semakin dirasai dengan Malaysia dan Tajikistan akan membuat perhitungan pada Selasa.
Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi saksi juara baharu Pestabola Merdeka buat kali pertama selepas 10 tahun. Adakah Malaysia akan kekal di takhta atau Tajikistan bakal bersorak riang membawa pulang piala ke Dushanbe?
Pengendali Tajikistan, Petar Segrt secara terbuka mengakui pasukannya sedikit tempang kerana kehilangan 15 pemain utama.
Malah, dia secara terbuka mengatakan skuadnya dibarisi oleh ramai pemain muda namun itu bukanlah petanda Tajikistan akan mengalah dan biarkan Malaysia mendakap kejuaraan seperti dalam video di Twitter (X).
Menurut Segrt, dia tidak akan berikan cabaran mudah kepada Malaysia dan akan pastikan skuadnya bertarung sebaik mungkin.
"Pada Selasa, kami akan datang ke perlawanan dan percayalah, saya akan jadi orang pertama yang bawa piala ini pulang (ke Tajikistan) bila saya ada peluang.
"Saya tak akan berikan 90 minit ini secara percuma kepada kamu. Kamu kena menang lawan kami, kami akan berjuang. Mungkin kami tidak cukup kuat, tapi untuk 90 minit kami akan berjuang untuk piala ini. Inilah peluang dalam hidup kami untuk menang Pestabola Merdeka," kata Segrt.

Tajikistan mahu bawa pulang kejuaraan Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM
Segrt menyedari kejuaraan Pestabola Merdeka ini cukup bermakna buat Malaysia dan sokongan padu pasti akan diberikan oleh ekor Harimau Malaya.
"Saya pernah berada di Indonesia untuk tiga tahun, saya tahu apa maksud merdeka. Ia ibaratkan seperti agama buat mereka. Ini bukan piala kecil," ujar Segrt.
Bagi pengendali Malaysia, Kim Pan-gon, dia sedia menyahut cabaran yang ada untuk memastikan kemenangan milik Harimau Malaya.
Menurut video di Twitter (X), Pan-gon mahukan kapten Malaysia yang menjulang piala selepas wisel penamat ditiupkan sambil mendedikasikan kemenangan buat penyokong.

Kemenangan untuk penyokong adalah sasaran Pan-gon dan Malaysia. — Facebook/FAM
"Kami ada skuad penuh (tanpa kecederaa), kami bersedia sepenuhnya dan kami ingin berikan persembahan terbaik, perlawanan terbaik dan kemenangan terbaik untuk para penyokong," kata Pan-gon.
Jika berjaya menewaskan Tajikistan, Pan-gon akan mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka yang dimenangi oleh Malaysia pada 2013.
Ketika itu, Malaysia diwakili oleh skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
