Berpotensi dimalukan Bayern Munich, Ten Hag mengaku dirinya dalam tekanan


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Erik ten Hag kini dalam tekanan akibat prestasi semasa Manchester United. — Agensi

PERMULAAN sukar yang dihadapi oleh Manchester United telah membuatkan pengurusnya, Erik ten Hag berada dalam tekanan.

Selepas kalah tiga daripada lima aksi pertama saingan English Premier League (EPL), Ten Hag turut berdepan dengan pelbagai isu luar padang terutamanya membabitkan Jadon Sancho.

Selain Sancho, pengurus dari Belanda itu turut berdepan kesukaran apabila kehilangan Antony akibat isu penderaan domestik membabitkan pemain itu.

Selepas tumbang kepada Brighton & Hove Albion di laman sendiri, tugas getir datang lagi buat United apabila perlu berdepan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Terbang ke Jerman untuk aksi pembukaan UCL, United berdepan cabaran sukar bertemu Bayern yang beraksi baik terutama sekali bersama-sama penyerang baharu mereka iaitu Harry Kane.

27-1f72c0d5fdfa4680a9e5d7ab970ecc1b

Harry Kane dijangka akan menghantui semula Manchester United. — Agensi

Ini secara tidak langsung menambahkan tekanan buat Ten Hag. Jika tidak kena caranya, pengurus itu mungkin boleh disingkirkan daripada jawatannya di United.

"Tekanan itu sentiasa ada. Baik pada tahun lepas atau tahun ini.

"Semestinya di United, anda mesti menang perlawanan anda. Kami perlu baiki prestasi dan saya tidak boleh leka. Kami memang kena tingkatkan prestasi. Individu-individu (di United) perlu bangkit. Ada masanya, anda dalam tempoh sukar dan perlu hadapinya," kata Ten Hag.

Walaupun tidak beraksi dengan baik ketika ini, namun Ten Hag tahu pasukannya perlu menjadi salah satu calon juara UCL musim ini.

Berdepan dengan Bayern yang cukup ampuh, The Red Devils perlu memberikan persembahan istimewa supaya dapat mencuri mata di Allianz Arena.

"Saya rasa Bayern Munich adalah salah sebuah pasukan pilihan untuk menenangi UCL, jadi kami perlu bermain baik di sana (Allianz Arena).

"Tetapi saya rasa saya sudah terangkan apa yang kami perlukan (apabila) di sana. Kami perlukan karakter, kepercayaan, daya tahan dan keazaman," jelas Ten Hag.

United akan bertemu Bayern pada pagi hari Khamis. Sepak mula adalah pada jam 3 pagi waktu Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram